Fiji arah rampas kapal layar mewah Russia


Kapal layar super Amadea berlabuh di Lautoka di barat Fiji sejak pertengahan April. – Gambar AFP, 3 Mei, 2022.

MAHKAMAH Fiji memerintahkan rampasan kapal layar besar yang dilaporkan dimiliki oleh oligarki Russia, kata pegawai, menyasarkan aset yang dianggarkan bernilai lebih RM1.3 bilion.

Kapal layar Amadea, yang berlabuh di Lautoka di barat Fiji sejak pertengahan April, dikaitkan dalam beberapa laporan dengan oligarki Russia Suleiman Kerimov, sasaran sekatan AS dan Kesatuan Eropah atas pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Mahkamah di ibu negara pulau Pasifik itu, Suva “memberikan perintah untuk merampas kapal layar super Amadea” selepas waran AS untuk rampasannya difailkan bulan lalu, kata pengarah pendakwaan awam Fiji dalam satu kenyataan.

Mahkamah memutuskan pada 19 April pihak berkuasa Fiji boleh menghalang kapal itu daripada meninggalkan perairan wilayah negara itu sementara menunggu keputusan mengenai waran AS.

Terdahulu, polis Fiji berkata mereka sedang menyiasat kapal layar mewah itu, yang belayar dari Amerika Latin sebelum didakwa tiba di Fiji tanpa pelepasan kastam.

Amadea sepanjang 107 meter bernilai RM1.4 bilion dan mempunyai kolam renang, jakuzi, helipad dan “taman musim sejuk”, menurut laman web superyachtfan.com, yang menjejaki kapal orang kaya.

Pelbagai tapak penjejakan kapal layar menyenaraikan Kerimov sebagai pemilik, tetapi ia tidak dapat disahkan.

Laporan Fiji Times bulan lalu menyatakan Mahkamah Tinggi menyenaraikan Millemarin Investment sebagai responden dalam kes itu kerana ia didaftarkan sebagai pemilik Amadea. – AFP, 3 Mei 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen