MAHKAMAH Fiji pada Jumaat menolak rayuan untuk menghalang pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) merampas kapal layar super Amadea milik Rusia.
Kapal layar bernilai AS$300 juta itu, yang dikaitkan oleh AS dengan jutawan oligarki dan ahli politik Suleiman Kerimov, yang menjadi sasaran sekatan, telah disita sebaik tiba di Fiji sebulan lalu atas permintaan Washington.
Pemilik berdaftar kapal layar itu, Millemarin Investments, menafikan Kerimov adalah pemiliknya dan berhujah yang undang-undang Fiji tidak membenarkan AS merampas Amadea.
Peguam Fiji mereka, Feizel Haniff, mendakwa hakim Mahkamah Tinggi yang pada mulanya meluluskan merampas Amadea sepanjang 106 meter “terkejut” dengan permintaan Washington.
Dalam keputusan bertulis, Mahkamah Rayuan berkata ia menolak rayuan Millemarin Investments, dengan penghakiman ditetapkan untuk berkuat kuasa dalam tujuh hari.
Haniff memberitahu pemberita yang beliau merancang untuk membawa kes itu ke Mahkamah Agung Fiji, dan akan memohon perintah mahkamah untuk menghalang ejen AS membawa keluar Amadea dari Fiji sebelum rayuan didengar.
Sebelum ejen FBI menaiki kapal Amadea selepas ketibaannya di pelabuhan Lautoka Fiji pada April, Haniff telah memfailkan rayuan dengan alasan pemilik sebenar kapal itu ialah Eduard Khudainatov, orang kaya Rusia yang tidak menghadapi sekatan.
Beliau berkata, AS tidak ada hak untuk merampas Amadea sehingga isu pemilikan diselesaikan. – AFP, 27 Mei, 2022.
Komen