Mahkamah Persekutuan benar rayuan kes kerakyatan automatik


Ravin Palanisamy

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada enam ibu merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menafikan kewarganegaraan automatik kepada anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Selain mereka, permohonan itu turut disertakan Persatuan Sokongan Keluarga & Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers).

Dalam keputusan sebulat suara, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Amar Abang Iskandar Abang Hashim, yang mengetuai panel tiga hakim, memberikan kebenaran kepada pemohon untuk meneruskan rayuan mereka.

Hakim lain ialah Mary Lim Thiam Suan dan Vernon Ong Lam Kiat.

Mahkamah Persekutuan kini akan menetapkan tarikh untuk pendengaran rayuan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Family Frontiers berkata keputusan kebenaran rayuan itu menghidupkan semula harapan wanita Malaysia yang berjuang selama beberapa dekad demi kesaksamaan dan pengiktirafan undang-undang hak anak-anak mereka untuk menjadi rakyat negara ini.

“Para ibu Malaysia tidak sabar untuk pendengaran rayuan ini.

“Ini adalah isu yang sekian lama berlarutan, dan kami ingin menekankan betapa pentingnya mencari penyelesaian kepada ketidaksamaan ini; setiap hari yang berlalu memanjangkan kesan berbahaya diskriminasi ini terhadap ibu rakyat Malaysia dan anak-anak mereka,” kata Presiden Family Frontiers Suriani Kempe dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bercakap bagi pihak ibu Malaysia yang terkesan, Myra yang merupakan plaintif dalam kes itu menyatakan rasa leganya Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan untuk menghapuskan undang-undang yang mendiskriminasi berdasarkan jantina.

Pada 5 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti 2-1, membenarkan rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan penting Mahkamah Tinggi yang membenarkan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing  mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Undang-undang kerakyatan yang mendiskriminasi jantina bukanlah norma global. Daripada 195 negara di dunia, hanya 24 negara, termasuk Malaysia, mengamalkan diskriminasi sistemik terhadap wanita dalam memberikan kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara secara sama rata dengan lelaki. – 14 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen