Kalau tidak kerana 8 Mac 2008, Nizar mungkin masih jurutera


Amin Iskandar

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hanya sempat memegang jawatan sebagai menteri besar Perak selama 11 bulan sebelum 'digulingkan'.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Mac, 2018. 

SEKIRANYA peristiwa bersejarah 8 Mac 2008 tidak berlaku, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mungkin masih meneruskan kerjayanya sebagai seorang jurutera kanan agensi kerajaan dan hidup dalam kemewahan.

Paling tinggi pun, Nizar mungkin terlibat dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membangkitkan sesuatu perkara atau menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

Bagaimanapun, tsunami politik 2008 mengubah segala-galanya, perubahan politik yang menyaksikan terhakisnya majoriti tradisi Barisan Nasional (BN) dan tumbangnya empat lagi negeri kepada pembangkang – Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah – sementara Kelantan terus kekal diperintah oleh PAS.

Walaupun hanya sempat menjadi menteri besar Perak selama sebelas bulan, nama Nizar terpahat dalam sejarah politik tanah air.

Dua bulan selepas digulingkan sebagai menteri besar Perak, Nizar menang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang menewaskan calon BN Ismail Safian dengan majoriti 2,789 undi. 

Sebelum dikenali sebagai ahli politik, Nizar pernah bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum berkhidmat sebagai jurutera di Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Sekiranya peristiwa 8 Mac 2008 tidak berlaku, saya tidak akan jadi menteri besar. Saya akan teruskan usaha saya sebagai seorang profesional dalam bidang kejuruteraan.

“Saya akan mempunyai sedikit kemewahan yang saya akan gunakan bersama-sama dengan keluarga tetapi sebenarnya, saya sendiri berasa kurang senang dengan suasana yang ada.

“Kerana secara tidak langsung, saya terlibat dengan penyalahgunaan kuasa itu. Saya sebagai seorang jurutera, kadang-kadang itu diminta dalam mana-mana tender projek yang besar, tender kerajaan untuk memberikan perhatian kepada beberapa syarikat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering itu dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Nizar berkata, disebabkan itu beliau merasakan tidak selesa dengan pekerjaannya kerana sumber pendapatannya boleh dipersoalkan.

“Saya diminta untuk memberikan perhatian kepada beberapa syarikat-syarikat yang telah pun mereka kenal pasti. Saya tidak tahu siapa punya syarikat.

“Kroni A atau B, tetapi saya diarahkan sebagai seorang jurutera yang membuat analisa berkenaan tender itu diminta untuk membuat sedikit penilaian yang menyebabkan saya rasa bersalah.

“Barangkali kerana pendapatan saya bukan daripada sumber-sumber yang sesungguhnya suci, maka saya juga akan cuba menyuarakan dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Nizar berkata, sekiranya tidak menjadi ahli politik, beliau mungkin akan terlibat dengan NGO.

“Kalau sekiranya tidak berlaku 2008, saya mungkin juga akan menggunakan kaedah-kaedah lain atau pun mungkin menggunakan platform NGO barangkali untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati saya,” katanya.

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata beliau tidak selesa dengan pekerjaannya sebagai jurutera kerana sumber pendaoatannya boleh dipersoalkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2018.

Nizar merupakan menteri besar Perak dari Mac 2008 hingga Februari 2009. Pada 4 Februari 2009, kerajaan PR Perak yang dianggotai DAP, PKR dan PAS tumbang selepas selepas empat Adun mengisytiharkan mereka meninggalkan gabungan itu.

Empat yang meninggalkan PR itu termasuk Adun Bota Nasarudin Hashim yang kembali ke pangkuan Umno selepas menyertai PKR pada 25 Januari, 2009.

Tiga yang lain mengisytihar diri sebagai wakil rakyat bebas dan menyokong BN dari luar. Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung tidak lama lagi, Nizar yang juga pengarah pilihan raya Pakatan Harapan Perak melihat sudah ternampak “angin perubahan” melanda negeri itu.

“Mereka mahu Pakatan Harapan kembali memerintah Perak bagi meneruskan kerja tertangguh dahulu. Ini didesak dengan apa yang mereka pelajari dan apa yang mereka terima daripada rakan-rakan atau keluarga mereka yang tinggal di Pulau Pinang atau Selangor.

“Bila mereka lihat di Selangor itu rakyatnya menikmati kebaikan berbanding dengan mereka di Perak. Mereka rasa kami dulu rugi, kalau diteruskan dengan kerajaan Pakatan pada ketika itu, mungkin kami akan nikmati apa yang rakyat Selangor dan Pulau Pinang dapat,” katanya.

Negeri Perak terletak di tengah-tengah antara Selangor dan Pulau Pinang.

Menurut Nizar, sekiranya pemerintahannya dahulu dapat diteruskan, rakyat negeri Perak juga mungkin akan merasai kebaikan pemerintahan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dinikmati di Selangor dan Pulau Pinang.

“Hari ini oleh kerana kerajaan itu telah dirampas oleh Najib Razak maka kita dinafikan perkhidmatan bas percuma, air percuma dinafikan WiFi percuma.

“Dinafikan pemberian kepada anak yang baru lahir. Untuk itu mereka merasakan hendak sangat dikembalikan balik kerajaan Pakatan,” katanya.

Beliau berkata, selepas meninggalkan PAS dan menyertai Amanah, sokongan rakyat Perak terhadapnya bertambah kuat.

“Sokongan dan mood rakyat untuk saya bersama-sama dengan Pakatan Harapan untuk mengambil alih pemerintahan negeri Perak ini lebih luas daripada dulu,” katanya, yang juga timbalan pengerusi Amanah Perak. – 9 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen