Anwar Ibrahim: Jebat yang kembali dijulang Umno


Mohd Azizi Jaeh

Nama Anwar Ibrahim tidak boleh dilupakan dalam wacana politik Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2022.

BERAKHIRNYA sebuah penantian yang panjang – 24 November 2022 pastinya membekas dalam ingatan rakyat Malaysia apabila Anwar Ibrahim ditabalkan sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.

Membincangkan tentang karektor Anwar merupakan suatu yang kadangkala menyenangkan dan kadangkala menyulitkan. Anwar menempuhi pengalaman sejarahnya yang agak luar biasa.

Luar biasa dari segi ketahanannya, luar biasa ujiannya dan luar biasa strategi perhitungannya.

Bermula sebagai aktivis pelajar di Universiti Malaya, kemudiannya menerajui gerakan Abim, seterusnya memasuki serambi Umno serta berada di daerah kekuasaan tertinggi sebagai timbalan perdana menteri, dan akhirnya terbungkam ke tirai besi dengan pelbagai dakwaan dikenakan.

Namun, langkah Anwar tidak terhenti di situ.

Gerakan Reformasi dilancarkan pada September 1998. Babak perjuangan Anwar seterusnya bertukar kepada wadah yang berbeza; bertindak sebagai penentang serta memakai lencana masyarakat sivil.

Anwar dipandang sebagai anti-kerajaan, seorang aktivis jalanan yang tidak pernah serik berdemonstrasi serta digeruni ramai tokoh politik Melayu khususnya Umno.

Pemaparan ini mengulangi kitaran sejarah ketika Anwar mengemudi gerakan Abim pada era 70-an dan pembabitannya dalam demonstrasi anti-kemiskinan di Baling pada 1974.

Selepas berdekad perjuangan, Anwar Ibrahim kini perdana menteri Malaysia ke-10. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2022.

Fasa Anwar berada di dalam dan di luar Umno serta berada di dalam  kerajaan dan di luar kerajaan boleh dirangkumkan sebagai ‘melengkapkan pusingan sejarah’ dan memaparkan jatuh bangunnya yang cukup dramatik.

Tidak seperti lapan orang perdana menteri sebelum ini, semuanya mengepalai ‘parti Melayu’ berbanding Anwar yang pertama kalinya menongkah sejarah Malaysia apabila menduduki kerusi perdana menteri dengan mengemudi sebuah ‘parti pelbagai kaum’ – Parti Keadilan Rakyat.

Menyoroti sejarah Anwar adalah membuka sebuah cerita yang panjang – kisah seorang anak bangsa yang ambitious yang menjadikan Umno sebagaitapak mendirikan perjuangan politiknya lebih empat dekad yang lalu.

Pada Mac 1982, Anwar telah mengejutkan kepimpinan PAS dan menggelisahkan pendukung Umno apabila menyertai Umno.

Anwar ketika itu mewakili pergerakan dakwah, sedangkan Umno mewakili kelompok nasionalis elit Melayu. Anehnya, bagaimana garis perbezaan jalur tersebut boleh bercantum?

Segalanya berputar dalam lingkungan untuk mengejar dan mempertahankan kekuasaan.

Dr Mahathir Mohamad memandang Anwar sebagai aktivis Islam yang lantang bersuara dan condong kepada PAS.

Dengan gelombang kebangkitan Islam selepas Revolusi Iranawal 1980-an, PAS berpotensi menjadi dominan di kawasan Melayu untuk menggantikan Umno. Langkah strategik direncanakan Mahathir untuk melumpuh dan menyekat pengaruh PAS dengan mengimport masuk Anwar.

Mahathir kemudiannya menambat hati Anwar. Beliau mengetahui Anwar merupakan individu yang mengimpikan kuasa demi menegakkan cita-cita Islamnya. Mahathir dan Umno mengisi impiannya.

Projek pembangunan yang berorientasikan Islamik diterapkan sebagai polisi kerajaan. Ia meliputi penyediaan institusi Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan institiut pemikiran Islam.

Ketika ini era yang disebutkan sebagai gandingan yang saling melengkapi, Mahathir-Anwar. Tatkala Mahathir memperkenalkan dasar penerapan nilai-nilai Islam, Anwar pula mempopularkan konsep masyarakat madani.

Anwar dikatakan percaya bahawa kenaikannya dalam hierarki Umno akan menghamparkan laluannya untuk mendakap jawatan perdana menteri.

Selepas aktivisme mahasiswa, Anwar Ibrahim menggemparkan negara dengan memasuki Umno berbanding PAS dan bermulalah gelora politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2022.

Penyusupan Anwar ke dalam Umno telah membantu melemah dan mengimbangi pengaruh Melayu Islam PAS. Pada masa sama, dasar Islam menjadi ‘nilai tinggi’ kepada bentuk Islam yang moden dan progresif. Ini menjadi tandingan sengit kepada PAS. 

Anwar dapat membina reputasinya dan dijulang tinggi oleh anggota Umno dari tahun 1982-1998. Anwar tampak cepat menyesuaikan dirinya dalam Umno. Anwar bukan lagi harimau, tetapi beliau adalah kancil.

Bagi beliau adakalanya perlu bertindak sebagai ‘Jebat’ dan adakalanya pula perlu berperanan sebagai ‘Tuah.’

Tetapi selepas 16 tahun gandingan Anwar-Mahathir akhirnya berpecah, maka berlakulah pergolakan dan persengketaan besar antara kedua-dua sosok ini.

Perasaan bimbang dan tidak senang sudah lama terpendam dalam kalangan anggota kepemimpinan mula dizahirkan – mereka menganggap Anwar melakukan pelanggaran tradisi terhadap tatacara politik Melayu.

Anwar juga rupanya tidak sebati dengan jalur pemikiran Umno, radikalismenya akan terpancar bila peluang kian terbuka, beliau mengintai peluang untuk mengukuhkan kedudukannya.

Beliau dianggap ancaman dan musuh kepada institusi kepimpinan presiden Umno. Akhirnya beliau dianggap penderhaka lantas tersungkur dari takhta kuasa.

Dalam tempoh 1998-2022 Anwar berseteru hebat dengan Umno. Keazamannya untuk menghancurkan Umno menjerumuskan parti yang diasaskan sebelum merdeka itu semakin pudar keyakinannya di kalangan orang Melayu.

Tema ‘regime change’ dan gerakan perlawanan berlangsung dalam tempoh yang agak panjang. Anwar ditampilkan sebagai calon perdana menteri berkali-kali – dari calon PM kelima hinggalah kesembilan. Namun, hasrat itu masih tidak terisi.

Selepas kejatuhannya dalam Umno, Anwar Ibrahim mengetuai PKR dan seterusnya Pakatan Harapan, membuka lembaran baharu sejarah politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2022.

PRU ke-15 merupakan klimaks dan kemuncak kepada ‘saga’ perjuangan Anwar. Tidak ada gabungan atau blok parti yang boleh diisytiharkan sebagai pemenang mutlak.

Umno/BN hampir runtuh dan hanya memungut 30 kerusi, rekod terburuk dalam sejarah sebagai parti dominan Melayu. Manakala Blok Pakatan Harapan yang diterajui Anwar merupakan parti yang memenangi kerusi terbanyak iaitu 82 diikuti Perikatan Nasional iaitu 74.

Lebih pahit bagi Umno, PAS mencipta sejarah sebagai parti paling tinggi merangkul kerusi antara semua parti yang bertanding. PAS dan blok Perikatan Nasional dijangkakan oleh pemerhati politik bakal menjadi ‘penghulu baru’ politik Melayu.

Sungguhpun Umno kalah, Anwar seakan menyelamatkan Umno untuk bergabung membentuk kerajaan campuran. Suka atau tidak, Umno perlu memikirkan survivalnya untuk jangka masa panjang dengan jajaran baru ini.

Sebenarnya kekalahan Umno adalah tuah kepada Anwar. Umno akhirnya benar-benar mengisi hasrat ‘Jebat.’

Pengangkatan Anwar oleh Umno kepada puncak kuasa kini, di saat mana kemaraan PAS yang sedang menggelegak!

Jika pada 1982, watak Anwar diperlukan Umno untuk menyekat pengaruh Islam PAS. Namun selepas 40 tahun kemudian, Umno yang dipimpin Zahid Hamidi telah menjulang sekali lagi Anwar untuk menyelamatkan kelangsungannya daripada lumpuh.

Persengketaan Umno-PAS dalam merebut kawasan majoriti Melayu atau Malay belt dan kecundangnya Umno kali ini secara tersiratnya membawa Anwar kepada jawatan perdana menteri.

Ketika PAS menjadi pencabar terkuat dalam politik Malaysia, Anwar meraih laba dan keuntungan politik.

Ternyata apa yang pernah diungkapkan pada 2001 oleh mantan Presiden PAS yang keenam, Almarhum Fadzil Noor iaitu ‘jika PAS menang, Anwar dilantik Perdana Menteri’ benar-benar menjadi kenyataan. – 11 Disember, 2022.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen