Insiden tanah runtuh di Ampang, 3 rumah lagi perlu dikosongkan


Tanah runtuh merosakkan bahagian belakang dua rumah di Taman Halaman, Ampang semalam. – Gambar Twitter, 10 Disember 2022.

PENGHUNI di tiga buah rumah di Taman Halaman, Ampang di Kuala Lumpur diarah mengosongkan kediaman mereka kerana pergerakan tanah dijangka berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak semalam di lokasi kejadian tanah runtuh itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata penghuni di kawasan terlibat telah berpindah namun terdapat beberapa penghuni enggan berbuat demikian walaupun dinasihatkan oleh pihak berkuasa dengan memberi alasan tidak wajar.

Beliau berkata arahan mengosongkan kediaman itu bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Polis juga membuat kawalan di kawasan sekitar dengan meletakkan sebuah Van Balai Polis bergerak selain mendirikan Pusat Kawalan Tempat Kejadian bersama bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“MPAJ, Ketua Daerah dan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat hadir membuat pemeriksaan di kawasan tersebut dan tiada kemalangan jiwa direkodkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seorang wanita warga emas antara enam individu yang terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di taman itu.

Rumah mereka turut mengalami kerosakan dalam kejadian itu. – Bernama, 10 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen