Zuraida pertaruh rekod khidmatnya untuk pertahan Ampang


Zuraida Kamaruddin berkata beliau yakin khidmatnya kepada penduduk Ampang selama tiga penggal beri kelebihan untuknya menang PRU15. – Gambar PBM, 7 November, 2022.

ZURAIDA Kamaruddin mempertaruhkan pencapaiannya selama tiga penggal sebagai ahli Parlimen Ampang untuk menewaskan lapan pencabarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata beliau yakin khidmatnya kepada rakyat di kawasan itu akan memberinya kelebihan berbanding calon lain.

“Saya tahu pertandingan ini sengit. Malah, ia akan menjadi pertandingan paling sukar untuk saya. Pertama, saya akan berdepan lapan pencabar lain termasuk tiga calon bebas.

“Keduanya, saya bertanding di bawah parti baharu, parti yang baru saja ditubuhkan,” katanya, merujuk kepada PBM yang baru disertai selepas keluar Bersatu,” katanya.

Walaupun Ampang menyaksikan perlawanan sembilan penjuru, pertandingan utama terletak antara Zuraida dan calon PKR/Pakatan Harapan Rodziah Ismail.

PKR berusaha keras untuk memenangi kerusi ini selepas Zuraida keluar parti itu dan menyertai Bersatu dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Tiga calon lain ialah calon MCA/Barisan Nasional Ivone Low Yi Wen, Sasha Lyna Abdul Latif (Bersatu), Bryan Lai Wai Chong (Warisan), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).

Tiga calon bebas ialah usahawan M. Raveendran, 38, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, 33, dan Tan Hua Meng, 65, yang sebelum ini bertanding di bawah tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada PRU14. – 7 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen