Pekerja New York Times mogok gaji tak naik


Selain isu gaji, faedah kesihatan dan persaraan serta dasar kembali bekerja juga antara isu yang membuatkan lebih 1,000 pekerja New York Times berang dan melancarkan mogok pada Khamis. – Gambar AFP, 9 Disember, 2022.

LEBIH 1,000 pekerja akhbar New York Times melancarkan mogok pada Khamis, dalam tindakan pertama sejak lebih 40 tahun.

Wartawan dan pekerja lain di saluran media itu bermogok pada tengah malam selama 24 jam selepas gagal mencapai persetujuan dengan syarikat mengenai pusingan baharu rundingan kontrak.

NewsGuild of New York, kesatuan yang mewakili pekerja berkata perkara utama ialah keengganan pihak pengurusan untuk menaikkan gaji sejajar dengan peningkatan inflasi.

Faedah kesihatan dan persaraan serta polisi kembali bekerja susulan pandemik Covid juga menjadi isu.

“Lebih 1,100 pekerja New York Times kini secara rasmi tidak menjalankan kerja, kali pertama terjadi dalam syarikat dalam 4 dekad,” tulis kesatuan di Twitter pada awal Khamis.

Jurucakap New York Times Danielle Rhoades Ha memberitahu media rundingan belum capai kata putus, berkata “ia sangat mengecewakan apabila mereka ambil tindakan melampau ketika kita tidak jumpa jalan.”

Phoebe Lett, penerbit podcast di saluran media, menulis di Twitter: “Sungguh menyayat hati kerana terpaksa berdiri dengan hampir 1,200 rakan sekerja yang mengorbankan segala-galanya untuk kebaikan tempat ini, mohon @nytimes tunjuk yang mereka hargai kami. Tetapi, disinilah kami.”

Kesatuan itu berkata ahlinya “bersedia melakukan apa yang diperlukan untuk menjadikan bilik berita mereka lebih bagus dan baik untuk semua.”

The Times berkata dalam artikel mengenai mogok itu pekerja bilik berita bukan persatuan akan mengeluarkan berita pada Khamis.

Dianggarkan lebih 1,800 orang bekerja di bilik berita The Times.

“Kami akan hasilkan laporan kukuh pada Khamis… Tetapi ia akan jadi lebih susah daripada biasa,” kata editor eksekutif Joe Kahn dalam e-mel kepada kakitangan.

Kontrak antara The Times dan The New York Times Guild tamat pada Mac 2021, menurut artikel mengenai mogok itu, menambah kira-kira 40 sesi tawar-menawar telah diadakan sejak itu. – AFP, 9 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen