EMPAT lelaki yang dituduh membunuh wartawan Jamal Khashoggi pada 2018 pernah menjalani latihan separa tentera di Amerika Syarikat (AS), yang diluluskan Jabatan Negara AS, lapor New York Times.
Khashoggi, wartawan Washington Post yang berasal dari Arab Saudi, dibunuh di dalam bangunan Konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018. Beliau yang lantang mengkritik Putera Mahkota Mohammed Salman dibunuh sekumpulan ejen Arab Saudi.
New York Times melaporkan empat suspek berkenaan menerima latihan ketenteraan dari firma keselamatan Tier 1 Group, yang diluluskan semasa pentadbiran bekas presiden Barack Obama pada 2014.
Latihan kemudian diteruskan semasa tahun pertama pentadbiran bekas presiden Donald Trump, menurut laporan itu.
Akhbar itu turut memetik keterangan pegawai tinggi syarikat induk Tier 1 Group iaitu Cerberus Capital Management, yang pernah memohon jawatan kanan di Pentagon.
Louis Bremer dalam keterangannya mengesahkan Tier 1 Group membekalkan latihan ketenteraan kepada empat suspek terbabit, namun menegaskan latihan yang diberi tiada kena mengena dengan pembunuhan Khashoggi.
Bremer juga berkata kesemua suspek itu menerima latihan pada 2017, dan dua daripada mereka pernah mengikuti latihan sejak Oktober 2014 hingga Januari 2015.
Jabatan Negara AS ketika dihubungi AFP enggan memberi sebarang komen. – AFP, 23 Jun, 2021.
Komen