PAS cabar Pakatan, BN haramkan premis judi


Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pengurangan kekerapan cabutan khas judi daripada 22 kali kepada lapan kali dan mengaitkan PN dengan duit judi hanyalah kenyataan untuk menarik sokongan orang Melayu dan Islam kepada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2022.

PAS mencabar Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengharamkan terus premis judi di semua negeri yang mereka tadbir, kata naib presidennya Idris Ahmad.

Beliau menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pengurangan kekerapan cabutan khas judi daripada 22 kali kepada lapan kali, dan mengaitkan Perikatan Nasional (PN) dengan duit judi, hanyalah kenyataan untuk menarik sokongan orang Melayu dan Islam kepada kerajaan.

“Amat baik sekiranya isu-isu ini diselesaikan dengan setiap negeri PH-BN mengikut jejak langkah negeri-negeri PAS/PN yang telah mengharamkan terus penggunaan premis untuk kegiatan judi. 

“Pastinya perkara ini akan menarik sokongan lebih tinggi pengundi Melayu-Islam kepada pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Idris juga berkata PAS sedia membantu negeri yang ditadbir PH untuk melaksanakan dasar mengharamkan judi seperti di negeri yang diperintah PAS dan PN.

PAS kini mentadbir Kedah, Kelantan, dan Terengganu, dan baru-baru ini menguasai pula Perlis selepas pilihan raya umum 19 November.

Pada Mac 2022, Kedah mengumumkan keputusan menamatkan semua lesen premis perjudian di negeri itu berkuat kuasa 31 Disember ini, atas kelulusan Kementerian Kewangan.

Kelantan dan Terengganu sudah melaksanakan pengharaman itu sejak dekad 1990-an.

Idris berpandangan kerajaan gabungan di Putrajaya sekarang memainkan isu judi kerana melihat sokongan pengundi Melayu dan Islam kepada PN tinggi.

Beliau memetik rumusan penganalisis politik Bridget Welsh bahawa 54% pengundi Melayu menyokong PN sementara hanya 11% pengundi Melayu memilih PH.

“Kelihatannya beliau (perdana menteri) cuba untuk mensasarkan tarikan serta cuba menjadi relevan di kalangan umat Melayu-Islam di Malaysia,” katanya.

Idris mengingatkan isu judi bukan isu picisan, sebaliknya dekat dengan orang Melayu dan Islam.

“Isu ini sangat menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana kegiatan judi merupakan satu dosa besar dan ibu kerosakan sesebuah masyarakat,” tambahnya.

Mengenai kenyataan Anwar mengaitkan PN dengan dana perjudian, Idris berkata isu sebenarnya ialah keuntungan besar yang diperolehi tauke judi sehingga mampu menaja parti politik.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dan diselidiki secara serius,” katanya.

Beliau malah mengingatkan bekas pengarah syarikat judi Magnum Berhad S Nallakarupan mendakwa pernah memberi sokongan kepada Anwar semasa jadi timbalan perdana menteri.

Pada 2008, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Nallakarupan kerana mendakwa kononnya presiden PKR itu menerima wang RM60 juta daripada Magnum.

Pada 2016, Nallakarupan mengaku kenyataannya palsu dan Anwar menarik balik saman itu. – 7 Disember, 2022. 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen