Hannah mahu jumpa atlet bincang kebajikan dan keperluan


Meneri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu mengadakan perjumpaan dengan para atlet dalam masa terdekat bagi membincangkan hal berkaitan keperluan dan kebajikan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2022.

MENTERI Belia dan Sukan yang baharu Hannah Yeoh tanpa berlengah mahu mengadakan perjumpaan dengan para atlet dalam masa terdekat bagi membincangkan hal berkaitan keperluan dan kebajikan mereka.

Bercakap pada sidang media selepas melaporkan diri secara rasmi di Menara KBS di Putrajaya Hannah berkata beliau juga tidak berniat untuk mengganggu proses persediaan atlet dengan mengubah hala tuju mereka secara tiba-tiba.

“Saya tiada hasrat untuk memperkenalkan program-program baharu, saya nak dengar dahulu daripada atlet dan cari jalan untuk perkasakan program sedia ada untuk penggal ini…Supaya atlet itu ada kesinambungan, kalau asyik tukar hala tuju, susah untuk atlet ikut,” katanya.

Hannah turut menekankan ketelusan dalam menjalankan tanggungjawab dan akauntabiliti dalam perbelanjaan.

“Kalau ada keperluan, mungkin kita akan paparkan (secara dalam talian mengenai individu dan persatuan yang menerima peruntukan) supaya ada ketelusan, semua orang tahu di mana bajetnya, di mana perbelanjaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut percaya pengalamannya dalam penggubalan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS2021) ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut membantunya dalam meneruskan pembentangan Akta Sukan Selamat.

“Saya dengar komen-komen mengenai Akta Sukan Selamat, saya percaya pengalaman dalam penggubalan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual sangat berguna di kementerian ini. Saya akan dengar dari pengurusan dulu berdasarkan penemuan mereka, saya akan beri keutamaan baru,” katanya.

Beliau juga tidak berhasrat untuk menghukum mana-mana pemimpin persatuan yang berlainan ideologi politik tetapi sedia bekerjasama sekiranya individu itu mampu menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Antara aspek lain yang akan difokuskan beliau ialah memastikan sukan boleh dicapai bagi semua, menyediakan ruang yang selamat bagi atlet, dan bekerjasama dengan kementerian lain bagi isu-isu melibatkan belia, terutamanya tanpa meminggirkan mereka yang tidak berjaya dalam akademik. – Bernama, 6 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen