KBS, MSN bangunkan Kod Sukan Selamat, kata Faizal


Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata KBS menerusi MSN mempersiapkan Kod Sukan Selamat untuk dilaksanakan kepada semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) bermula Disember ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2022.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) mempersiapkan Kod Sukan Selamat untuk dilaksanakan kepada semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) bermula Disember ini. 

Menterinya Ahmad Faizal Azumu berkata kod itu yang merangkumi tatacara kelakuan bakal diguna pakai untuk mengendalikan aduan mengenai gangguan seksual di semua peringkat termasuk pusat latihan sukan sebelum digantikan dengan Akta Sukan Selamat pada masa akan datang.

“Saya memang sudah berjanji (meneruskan rancangan) Akta Sukan Selamat tetapi oleh kerana saya percaya ia mengambil masa yang panjang jadi kami dah buat keputusan untuk memperkenalkan kod ini di semua peringkat sukan.

“Ini untuk melindungi atlet kita jika mereka mendapat gangguan seksual atau mental yang teruk hingga merosakkan kehidupan mereka untuk satu masa yang panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Piala Dunia Kumpulan Gimnastik Estetik (AGG) 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Ahmad Faizal dilaporkan berkata kementeriannya sedang merangka draf Akta Sukan Selamat yang dijangka siap selewat-lewatnya Disember ini pada sesi soal jawab sidang Parlimen Mac lepas. 

Mengulas lanjut beliau berkata perkara berkenaan bagaimanapun terbantut susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lepas.

Sementara itu mengulas mengenai sukan Gimnastik Estetik beliau berkata ia antara sukan yang perlu diketengahkan kerana berpotensi memberi pulangan besar kepada ekonomi negara.

“Untuk impak ekonomi AGG sahaja pulangan sekitar RM20 juta, kita juga berharap media antarabangsa dapat membuat liputan (untuk sukan gimnastik estetik) dan itu juga dapat membatu mempromosi negara dan menarik kedatangan pelancong luar,” katanya. – Bernama, 26 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen