Belia digalak sertai sukarelawan KBS, kata menteri


Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata pasukan sukarelawan sudah lama diwujudkan namun dijenamakan nama semula sebagai Satria. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2022.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengajak golongan belia di negara ini untuk mendaftarkan diri menjadi sukarelawan di bawah Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (Satria) yang sedia berkhidmat untuk membantu sewaktu bencana banjir.

Menterinya Ahmad Faizal Azumu berkata pasukan sukarelawan itu sudah lama diwujudkan oleh Jabatan Belia dan Sukan namun penjenamaan nama semula sebagai Satria baru sahaja dilakukan sebagai usaha untuk menghargai mereka yang menjadi sukarelawan KBS.

“Pasukan sukarelawan ini diwujudkan lebih awal lagi tetapi baru buat penjenamaan nama semula. Kami tukar nama itu kerana sebelum ini mereka dipanggil sebagai sukarelawan, jadi kami mahu beri nama kepada hero-hero negara yang tidak didendang ini dan nama Satria paling sesuai dan tepat.

“Mereka ini akan turun membantu terutamanya ketika bencana berlaku termasuk kejadian banjir. Kami akan beri latihan dan pendedahan kepada mereka bagi memastikan pergerakan Satria ini adalah teratur dan berstruktur,” katanya kepada pemberita di Sungai Petani hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Karnival Prihatin Negara 2022 di Dataran Amanjaya Mall di Sungai Petani yang dirasmikan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata sehingga kini lebih 300,000 golongan belia berdaftar menjadi sukarelawan KBS dan KBS berharap lebih ramai golongan itu akan menyertai Satria selepas ini.

“Mereka ini bukan membantu ketika bencana sahaja, ia turut melibatkan program lain. Contohnya, seramai 700 Satria ditugaskan untuk membantu melancarkan perjalanan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang berlangsung dari 16 hingga 24 September.

“Saya tidak letakkan satu sasaran bagi jumlah belia untuk sertai Satria ini tetapi lebih ramai lebih bagus supaya kita semua dapat sama-sama terlibat dalam fardu kifayah dan membantu masyarakat yang dalam kesusahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang mungkin berlaku ketika musim tengkujuh akan datang.

“Kami bersedia sepenuhnya seperti tahun-tahun sebelum ini berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan mengendalikan bilik gerakan sekiranya bencana berlaku,” katanya. – Bernama, 23 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen