Bekas pemain negara mahu kebajikan atlet veteran lebih terjamin


Noel Achariam Elill Easwaran

Minarwan Nawawi mencadangkan syarikat swasta memperuntukkan 1% peluang kerja kepada bekas atlet negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Februari, 2022.

KERAJAAN perlu melihat semula usaha menjaga kebajikan atlet veteran apabila kerjaya sukan mereka tamat, kata bekas pemain sukan negara.

Satu daripada cadangan ialah Kementerian Belia dan Sukan mewajibkan semua syarikat memperuntukkan 1% daripada tenaga kerja mereka untuk bekas atlet negara.

Cadangan lain ialah kerajaan perlu memberi layan sama rata kepada semua sukan dan bukan hanya menawarkan habuan kepada sukan tertentu seperti badminton dan bola sepak.

Legenda ini menambah yang kerajaan juga mesti menggalakkan syarikat korporat, bank dan syarikat berkaitan kerajaan untuk melibatkan diri dalam sukan di negara ini.

Atlet veteran seperti bekas kapten hoki negara Mirnawan Nawawi, legenda bola sepak Santokh Singh dan pemain badminton Roslin Hashim berkata sudah tiba masanya kerajaan mula memberi perhatian serius terhadap perkara ini.

Mirnawan berkata satu cara untuk merealisasikannya adalah dengan memastikan syarikat swasta memperuntukkan 1% peluang kerja kepada bekas atlet negara.

“Sebagai contoh jika sebuah syarikat mempunyai 5,000 kakitangan, ia sepatutnya menawarkan 1% pekerjaan untuk bekas atlet.

“Mengapa kerajaan tidak boleh kaji sama ada mereka boleh mewajibkan syarikat mengambil atlet negara bekerja? Tidak kira sukan apa yang mereka tandingi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menggalakkan syarikat korporat, bank dan syarikat berkaitan kerajaan untuk melibatkan diri dalam sukan di negara ini.

“Mereka mesti melakukan beberapa tanggungjawab sosial korporat untuk para atlet.”

Mirnawan berkata pada masa ini sektor perbankan memainkan peranannya dengan mengambil bekas pemain hoki negara.

“Jadi, apabila kerjaya sukan pemain tamat, mereka mempunyai jaminan pekerjaan. Barulah ada kestabilan untuk mereka.”

Beliau berkata situasi itu membimbangkan bukan sahaja atlet yang akan bersara tetapi juga bagi mereka yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan.

“Bagi atlet di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), mereka dianggap profesional dan diberi elaun.

“Tetapi apabila mereka digugurkan daripada program sukan atau mendapat kecederaan teruk, mereka tidak akan menerima apa-apa, rezeki mereka akan terjejas.

“Selepas memberikan segala-galanya untuk negara, mereka dibiarkan tanpa sebarang bantuan. Bagaimana mereka akan bertahan?

“Jika mereka boleh mendapat pekerjaan, baguslah. Tetapi, melihat keadaan sekarang (wabak Covid-19) ia bukan mudah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan harus mewujudkan jaminan kepada atlet.

“Ini juga akan menggalakkan ibu bapa untuk menceburkan anak-anak mereka menyertai sukan sebagai kerjaya.”

Pada awal Januari lalu, diumumkan 144 atlet negara termasuk mereka yang mencipta sejarah untuk Malaysia dalam pertandingan peringkat tertinggi diberhentikan oleh MSN kerana kekurangan dana.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu juga berkata MSN memutuskan untuk mengurangkan bilangan atlet sepenuh masa daripada 432 kepada 288 pada 2022.

Bekas pemain badminton kebangsaan Roslin Hashim berkata sudah tiba masanya kerajaan mula memberi perhatian serius terhadap isu kebajikan bekas atlet. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Februari, 2022.

Galakan untuk anak muda

Roslin, yang merupakan bekas pemain badminton nombor satu dunia, berkata beliau juga menjadi mangsa sikap tidak peduli kerajaan terhadap atlet negara yang sudah bersara.

“Tiada sokongan daripada Persatuan Badminton Malaysia atau kerajaan selepas bersara.

“Saya menyumbang kepada negara selama lebih 25 tahun dan apabila saya bersara, tiada siapa yang membantu saya.

“Saya memberi begitu banyak untuk negara tetapi negara tidak memberikan apa-apa kembali kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu melakukan lebih banyak lagi untuk atlet terutamanya jika mahu menggalakkan golongan belia menyertai sukan.

“Kita tidak mahu mematahkan semangat belia untuk menyertai apa jua jenis sukan dengan mengabaikan kebajikan atlet negara.”

Sementara itu, Santokh berkata persatuan sukan hanya menjaga pemain bagus selepas bersara.

Beliau berkata ini juga termasuk kerajaan yang hanya menjaga kebajikan pemain terkemuka.

“Jika anda bagus, kerajaan jaga anda, jika teruk, mereka tidak akan mempedulikan anda,” katanya.

Legenda bola sepak Santokh Singh berkata kerajaan perlu menaja sukan lain secara sama rata, bukan hanya bola sepak dan badminton. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Februari, 2022.

Layan semua sukan sama rata

Santokh juga berkata kerajaan salah kerana tidak memberi perhatian yang sama kepada semua atlet, sambil menambah atlet dari beberapa sukan popular lebih terjaga.

“Lihat badminton, atau bola sepak, semua pemain negara dipupuk dan dijaga dengan baik untuk memenangi kejohanan.

“Tetapi kerajaan harus menaja sukan lain secara sama rata, bukan hanya bola sepak dan badminton. Sesetengah sukan hampir tidak mendapat pembiayaan,” katanya.

Bercakap mengenai bola sepak secara khusus, Santokh khuatir masa depan pasukan kebangsaan sedang merudum.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya ragu-ragu kedudukan pasukan bola sepak Malaysia akan menjadi lebih baik tetapi saya harap mereka dapat membuktikan saya dan rakyat salah.”

Beliau juga menambah yang mendapatkan pemain asing bermain di sini bukanlah tindakan yang bijak.

“Semua pemain naturalisasi ini datang dan bermain dan mendapatkan faedah istimewa dan mereka akan pergi.

“Ini akan melemahkan semangat generasi muda daripada bermain sukan. Ia tidak adil untuk pemain Malaysia.” – 12 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen