Cari dana baharu kekalkan atlet tercicir, kata Sim


Noel Achariam

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata ketika Pakatan Harapan memerintah, KBS berjaya mendapat kelulusan Kabinet untuk salurkan RM30 juta hasil cukai gula untuk pembangunan sukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) perlu mencari sumber kewangan baharu supaya dapat membiayai pembangunan sukan dan mengekalkan atlet yang digugurkan daripada program latihan Majlis Sukan Negara (MSN) tahun ini, kata ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, KBS berjaya mendapat kelulusan Kabinet untuk menyalurkan RM30 juta hasil cukai gula untuk pembangunan sukan.

“Di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan kini gabungan (Barisan Nasional) BN-PN, cabutan khas judi telah dinaikkan daripada lapan kepada 22 kali ganda.

“Justeru, cukai judi (cukai permainan) yang sebahagiannya disalurkan kepada pembangunan sukan juga perlu dinaikkan. Ini sekurang-kurangnya boleh menjana RM50-RM100 juta bagi pembangunan sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sim mengulas pengumuman Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini mengenai 248 atlet biasa yang benar-benar layak dan 45 atlet para akan dikekalkan untuk program latihan sepenuh masa, berbanding lebih 400 atlet dan 114 atlet para yang dilatih di bawah MSN sebelum ini.

Bagi atlet sandaran pula, 178 atlet biasa dan 22 atlet para dikekalkan. Tahun lepas 260 atlet sandaran berada dalam senarai sementara tidak ada senarai sedemikian untuk atlet para.

Ahli Parlimen DAP itu berkata Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi telah tampil menjelaskan bukan sahaja 144 atlet digugurkan daripada program latihan sukan negara, malah jumlah sebenar atlet yang telah digugurkan sebanyak 253 orang.

“Ini tidak termasuk atlet yang elaunnya dipotong secara mengejut seperti pelari trek negara Rayzam Shah Wan Sofian yang mendakwa elaun latihannya dipotong daripada RM2,000 sebulan kepada cuma RM800 sebulan.

“Isunya kegagalan Menteri Belia dan Sukan (Reezal Merican Naina Merican) mendapatkan peruntukan mencukupi sebelum pemecatan beramai-ramai atlet negara,” katanya.

Sim berkata beliau telah memberi amaran di Parlimen tahun lepas akan ada masalah besar berikutan pengurangan mendadak dalam peruntukan sukan.

“Menteri Belia dan Sukan nampaknya memandang ringan isu ini. Saya sekali lagi menggesa menteri mengambil tindakan segera sebelum sektor sukan negara lumpuh sepenuhnya, sekali gus memusnahkan segala usaha atlet, jurulatih, dan pegawai sukan kita selama ini.”

Katanya, beberapa langkah yang boleh diambil kerajaan ialah memperkenalkan pelepasan cukai korporat untuk tajaan atlet, acara sukan dan pembangunan sukan secara amnya bagi menggalakkan sumbangan kewangan daripada sektor swasta.

“Saya sudah beberapa kali membangkitkan cadangan ini di Parlimen sejak Bajet 2021 lagi.

“KBS juga harus memperluaskan lagi program TRACK yang diperkenalkan semasa pentadbiran PH (Pakatan Harapan) di bawah MSN untuk menempatkan atlet bekerja secara fleksibel di syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan atlet, malah menyediakan platform kerjaya kedua untuk mereka.”

Sim berkata program MACE (Malaysia Athletes Career and Education) perlu diperkasakan untuk mewujudkan kerjaya sukan dan ekosistem pasca kerjaya yang lebih baik untuk atlet.

“Sebarang penamatan kontrak atlet harus dirundingkan secara adil, atlet harus diberi masa peralihan yang sesuai, dan ditawarkan peluang pendidikan yang munasabah atau pekerjaan selepas kerjaya.

“KBS seharusnya meningkatkan kapasiti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi memastikan semua bekas atlet negara mendapat pembelaan di bawah program kebajikan YAKEB.

“Saya cadang peruntukan tambahan RM5 juta disalurkan kepada YAKEB untuk tujuan itu.”

Sim berkata, KBS dan persatuan sukan kebangsaan perlu melaksanakan strategi perbelanjaan berhemat seperti penjimatan melalui tender terbuka, dan menghentikan budaya membiayai “cuti sukan” kepada pegawai sama ada Menteri, penjawat awam atau pegawai persatuan sukan dengan alasan “mengiring” atlet ke permainan luar negara.

“Hadkan rombongan kepada pegawai yang berkaitan dengan temasya dan atlet secara langsung sahaja. Semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020, terdapat insiden lontar peluru kita Muhammad Ziyad Zolkefli gagal tiba awal di ruang menunggu yang mengakibatkan beliau terlepas pingat emas walaupun mencipta rekod baharu kejohanan.

“KBS seharusnya menggalakkan pembangunan kelab sukan profesional yang mampu mencungkil bakat sukan serta menarik pelaburan swasta.” – 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen