Cabutan khas nombor ramalan dikurangkan 8 kali setahun, kata Anwar 


Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali setahun berkut kuasa 1 Januari tahun depan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2022.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali sahaja setahun berbanding 22 kali yang diluluskan kerajaan sebelum ini.

“Kita tidak ada kecenderungan mengutip dana haram, jadi hari saya ini saya sebagai menteri kewangan membatalkan keputusan cabutan khas perjudian,” katanya pada sidang media perdana menteri di Putrajaya.

Beliau turut membayangkan dana daripada syarikat perjudian itu digunakan oleh “parti Melayu dan Islam” untuk membiayai pilihan raya baru-baru ini.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.

Pada September 2021,  Tengku Zafrul Abdul Aziz selaku menteri kewangan pada masa itu mengesahkan pihaknya meluluskan kekerapan cabutan khas nombor ramalan 22 kali.

Kekerapan 22 kali setahun sebelum itu diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN), sebelum diturunkan kepada 11 kali setahun oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 dan kemudian hanya lapan kali setahun pada 2020.

Ia dinaikkan semula selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan. Keputusan itu dikritik banyak pihak kerana kerajaan itu turut disertai PAS, yang selama ini lantang mengkritik kegiatan judi yang dibenarkan oleh kerajaan.

Terhadap kritikan itu, pemimpin PAS bagaimanapun berkata ia bukan keputusan parti tersebut kerana ia tidak mempunyai kuasa penuh dalam kerajaan.

Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat pada 2 November 2021, menteri kewangan memberitahu kutipan cukai daripada judi pada 2018 ialah sebanyak RM2.62 bilion, naik menjadi RM3.43 bilion pada 2019. Ketika itu PH adalah kerajaan.

Kutipan cukai itu turun menjadi RM1.72 bilion pada 2020 dan antara Januari hingga September 2021 kutipannya lebih kurang RM560,000 juta. Ketika itu kerajaan adalah PN. – 5 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen