SEORANG penunjuk perasaan dan seorang anggota polis terbunuh semalam di bandar Sweida di selatan Syria ketika pasukan keselamatan cuba menyuraikan demonstrasi disertai ratusan rakyat yang menentang kos sara hidup yang merosot.
Ketegangan memuncak di bandar yang dikuasai rejim itu selepas penunjuk perasaan membaling batu ke arah bangunan kerajaan dan menyerbunya, mengalihkan gambar besar Presiden Bashar al-Assad, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
“Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan dan seorang pegawai polis terbunuh,” kata ketua Observatorium Rami Abdel Rahman kepada AFP.
Penunjuk perasaan maut apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan selepas mangsa memasuki bangunan itu, katanya sambil menambah tentera kerajaan mengawal bandar itu dan menyuraikan penunjuk perasaan.
Akhbar berita tempatan Suwayda24 mengesahkan dua kematian itu dan berkata empat yang lain dibawa ke hospital.
Rantau Sweida di selatan Damsyik adalah nadi Druze yang membentuk kurang daripada 3% penduduk sebelum perang Syria.
Perang itu membunuh hampir setengah juta orang sejak ia bermula pada 2011 dengan penindasan kejam protes anti-kerajaan, memecah-belahkan negara dan menyebabkan kejatuhan ekonomi. – AFP, 5 Disember, 2022.
Komen