POLIS Thailand menembak gas pemedih mata dan peluru getah pada Sabtu ketika cuba menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di Bangkok yang menggesa reformasi politik dan meminta perubahan dilakukan terhadap program vaksinasi Covid-19 negara itu.
Penunjuk perasaan mengetepikan larangan daripada membuat sebarang perhimpunan awam yang diperkenalkan ketika Thailand berusaha menangani penularan teruk wabak untuk meminta Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha meletakkan jawatan.
Kerajaan Thailand dikecam hebat kerana pelaksanaan program vaksinasi yang lembap dan penunjuk perasaan turut menggesa supaya kerajaan mula menggunakan suntikan seperti Pfizer dan Moderna, bukannya hanya suntikan dos Sinovac dari China.
Kira-kira 500 lebih penunjuk perasaan itu bagaimanapun berjaya ditangani polis, yang menyatakan Jumaat mereka bercadang menugaskan 6,000 anggota untuk meleraikan perhimpunan itu.
“Saya bimbang mengenai situasi itu tapi kami perlu terus berjuang di sebalik penularan teruk Covid,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 27 tahun, Nat, kepada AFP.
Tunjuk perasaan didalangi pertubuhan belia di jalanan yang menuntut demokrasi meledak tahun lalu dan ia membabitkan puluhan ribu yang berhimpun di kota Bangkok. – AFP, 7 Ogos, 2021.
Komen