Ketua polis Sudan dipecat


Khaled Mahdi Ibrahim al-Emam dipecat dari jawatan ketua polis Sudan. – Gambar AFP, 28 November, 2021.

PERDANA Menteri Sudan Abdalla Hamdok semalam memecat ketua polis negara itu susulan lebih 40 orang maut akibat tindakan keras pasukan keselamatan terhadap penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa bulan lalu.

Abdalla dalam satu kenyataan berkata beliau telah memecat Khaled Mahdi Ibrahim al-Emam dan timbalannya Ali Ibrahim.

Beliau kemudian melantik Anan Hamed Mohamed Omar menggantikan Khaled dan Abdelrahman Nasreddine Abdallah sebagai timbalan ketua polis.

Ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Burhan merampas kuasa dan menahan Abdallah pada 25 Oktober lalu, tetapi kembalikan semula kedudukan perdana menteri itu menerusi perjanjian pada 21 November selepas menerima kecaman antarabangsa dan tunjuk perasaan beramai-ramai.

Sekurang-kurangnya 42 orang dilaporkan terbunuh akibat tindakan keras pasukan keselamatan bulan lepas. Tunjuk perasaan berterusan walaupun selepas Abdallah dibebaskan daripada tahanan rumah dan kembali memegang jawatannya, minggu lalu.

Pakar perubatan mendakwa pasukan keselamatan melepaskan peluru hidup dan peluru bersalut getah ke arah penunjuk perasaan di bahagian kepala, leher dan badan dengan peluru hidup, selain melepaskan tong gas pemedih mata.

Polis menafikan laporan mereka melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup.

Selain itu, ratusan aktivis politik, wartawan, penunjuk perasaan dan orang ramai yang melihat tunjuk perasaan itu telah ditangkap sejak beberapa minggu lalu dan belum dibebaskan. – AFP, 28 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen