Ratusan berhimpun di Washington bantah kerajaan Cuba


Ratusan warga Cuba di Amerika, pelarian politik dan aktivis berarak di Washington pada Isnin bagi membantah kerajaan Cuba.– Gambar EPA, 27 Julai, 2021.

RATUSAN warga Cuba di Amerika, pelarian politik dan aktivis berarak di Washington pada Isnin bagi membantah kerajaan Cuba susulan operasi memburu penunjuk perasaan anti-komunis awal bulan ini. 

Warga Cuba di seluruh Amerika Syarikat mengibarkan bendera kebebasan serta bendera negara Cuba dan Amerika di perkarangan Rumah Putih bagi menuntut campur tangan Presiden Joe Biden ke atas negara berkenaan. 

Kumpulan hak asasi Cuba menuduh pemerintah negara itu menggunakan tapisan dan taktik untuk menakutkan penunjuk perasaan anti-kerajaan, yang merupakan protes terbesar sejak revolusi yang membawa kepada kebangkitan Fidel Castro pada 1959. 

“Kami berhimpun bagi menarik perhatian rakyat Amerika,” kata Carlos Rodriguez, 29, yang datang ke Washingtonn dari Miami bagi menunjukkan sokongan. 

“Kami mahu Rumah Putih mengisytiharkan kerajaan Cuba tidak sah,” kata perunding hartanah Elena Cruz, 32, yang meninggalkan Cuba pada usia 16 tahun dan menetap di Florida.

Pada 11 Julai, protes tercetus di seluruh Cuba yang berpunca daripada masalah ekonomi, perubatan dan kekurangan bekalan makanan serta kemarahan terhadap rejim.

Seorang dilaporkan maut selepas bertempur dengan polis, manakala ratusan lagi ditahan dan didakwa kerana menggugat ketenteraman awam, vandalisme, dan melanggar perintah sekatan Covid-19. – AFP, 27 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen