Pandangan republikan terhadap monarki


Hishamuddin Rais

SAYA Hishamuddin Rais adalah seorang republikan. Ini bermakna saya menganut faham ketatanegaraan yang berbentuk republik. Perkataan republik ini bermakna orang ramai. Dari perkataan Inggeris public – orang biasa.

Lawan orang biasa ialah kaum bangsawan dari kelas feudal.

Untuk penganut fahaman Republikan sesebuah kerajaan itu adalah kerajaan orang ramai, didirikan oleh orang ramai untuk orang ramai. Kerajaan rakyat didirikan oleh rakyat untuk rakyat.

“The government of the people, by the people, for the people…” Ini petikan kata-kata ucapan Presiden Abraham Lincoln (1809-1865) pada 19 November 1863 di Gettysburg. Ucapan garis perjuangan politik Amerika ini dilafazkan ketika    Perang Saudara (1861-1865) di Amerika.

Kata-kata ini menjadi asas politik Amerika dan juga asas politik banyak negara dalam dunia yang mengamalkan demokrasi dan pilihan raya termasuk Malaysia.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi berparlimen kita diikat pula dengan sistem Raja Berperlembagaan.

Pada tahap persejarahan tamadun Malaysia hari ini, sebagai seorang republikan saya tidak melihat ada percanggahan antara kuasa rakyat melalui undi dengan kuasa Raja melalui darah keturunan.

Pada hemat saya pada tahap ini Raja dan Sultan – Raja-Raja Melayu – sedang memainkan peranan yang penting lagi positif.

Mungkin ada yang akan terperanjat membaca apa yang saya tulis. Apakah ayat menyatakan sokongan terhadap monarki ini sebagai ayat murtad daripada tulisan seorang republikan?

Tidak. Jawabnya tidak. Ini kerana saya memiliki hujah untuk mempertahankan kenyataan saya ini.

Dalam perkembangan politik Malaysia pasca PRU15 saya melihat Raja-Raja Melayu telah menjadi penyelamat.

Selamatkan daripada siapa? Siapa musuh kita?

Mari sini hambo nak royak.

“Jangan serah negara kepada ekstremis kaum dan ekstremis agama…” Ini induk ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 22 November ketika penubuhan kerajaan negeri campuran Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Ucapan Sultan Perak ini bukan baru. Semenjak tahun 2019 lagi media telah melaporkan ucapan dengan isi dan tema yang sama.

Untuk mudah dihayati, kerajaan baru di Perak adalah kerajaan campuran BN dengan PH. Dalam gabungan ini ada United Malays National Organisation dengan Democratic Action Party. Satu parti Melayu dan satu parti Cina.

Apa yang berlaku di Perak adalah sejarah. Kerjasama dua musuh politik yang selama ini bertelagah. Kini boleh sokong menyokong. Boleh bertolak ansur demi kepentingan ramai.

Tidak dapat tidak Sultan Perak telah memainkan peranan yang amat penting. Monarki telah berjaya mempertemukan dua musuh politik untuk bekerjasama dalam dewan. Amin.

Siapa dia ekstremis agama dan siapa pula ekstremis kaum?

Ekstremis agama wujud dalam parti Islam PAS. Ekstremis kaum wujud dalam parti DAP. Ini hakikat tidak perlu dinafikan.

Saya selalu berseloroh mentakrifkan bahawa DAP ini ialah PAS Cina manakala PAS ini ialah DAP Melayu.

Dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.

Ekstremis kaum mahu membawa orang Cina Malaysia ke budaya Cina Merah. Tidak mahu mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu.

Manakala ekstremis agama mahu mewujudkan negara bangsa berteraskan budaya Arab. Tidak mahu mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu.

Dua-dua sama bahaya. Justeru, dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia mahu hidup sebagai rakyat Malaysia, bukan cara Arab atau cara China.

PRU15 selesai. Undi dikira. Hasilnya tidak ada gabungan parti politik yang memiliki majoriti yang boleh mendirikan kerajaan. Pakatan Harapan mendapat 82 kerusi, Barisan Nasional 30, Perikatan Nasional 73, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, PBM 1, KDM 1 dan dua kerusi Bebas.

Parlimen tergantung. Maka perbincangan untuk mendirikan kerajaan campuran bermula.

Untuk menyedapkan cerita dari awal lagi Muhyiddin Yassin dari Perikatan Nasional mendakwa dia memiliki 115 undi. Justeru Perikatan Nasional akan mendirikan kerajaan.

Umum diberitahu BN kini bersama PH. Justeru ada majoriti 112. Angka majik untuk menubuh kerajaan.

Dari mana pula Muhyiddin dapat angka 115?

Lebai Desas dan Haji Desus mula bersuara. Lebai Desas Desus mengatakan bahawa Hishammuddin Hussein dan sembilan YB dari Barisan Nasional telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin.

Ketika ini klip video Abang Jo keluar memberi gambaran yang GPS tidak berminat dengan Pakatan Harapan kerana perangai DAP.

Semua ini menjadi asas kiraan jumlah undi milik Perikatan Nasional, GPS dan GRS dibaca bersama Muhyiddin.

Apabila berita ini tersebar satu Malaysia jadi gempar.

Ketika ini soalan mula muncul apakah konsert Black Pink akan dibatal. KPop Army menjadi risau.

Konsert ini akan diadakan pada 4 Mac tahun depan di Stadium Bukit Jalil. Tiket kumpulan dari Korea ini telah terjual habis dalam masa 30 minit. Tiket termahal 8,000 ringgit, termurah 300 ringgit.

Apakah gaya hidup anak muda Malaysia akan diganggu gugat oleh ekstremis agama dalam Perikatan Nasional?

Ini soalan dari sesiapa sahaja yang menghayati dan menganuti gaya hidup budaya Malaysia.

Takut dengan Perikatan Nasional merebak luas apabila klip ceramah pendek Muhyiddin tentang ‘kristianisasi’ menular. Ini diikuti pula dengan klip Haji Hadi tentang betapa tidak bertamadunnya warga Dayak yang bercawat dan bertatu.

Klip TikTok kristianisasi membuka ingatan terhadap larangan orang Melayu agar jangan mengucapkan Kong Hee Fatt Chai, Merry Christmas, Happy Deepavali kepada yang bukan Melayu.

Lalu ingatan terhadap Gawai datang kembali. Gawai adalah Oktober Fest untuk Dayak di Sabah dan Sarawak. Perayaan minum air tapai sambil menari bercawat ini apakah akan dilarang seperti larangan Oktober Fest di Kuala Lumpur.

Saya sendiri teringat akan heboh-heboh tentang Bon Odori. Ini pesta masyarakat Jepun di Malaysia yang dirayakan saban tahun di Shah Alam.

Heboh Bon Odori yang dimulakan oleh ekstremis agama ini melebar hingga Sultan Selangor terpanggil.

‘Sultan Selangor titah menteri hadir Festival Bon Odori, fahami beza agama dan budaya…’ petikan tajuk berita Astro Awani 9 Jun 2022.

Sultan Selangor telah menyelamatkan gaya hidup rakyat Malaysia. Pesta Bon Odori selamat.

Jelas secara positif monarki telah membawa pencerahan dari kegelapan yang disebar oleh ekstremis yang menggunakan agama sebagai alat tunggangan politik.

Gaya hidup kita ini lahir dari kawasan alam sekeliling. Budaya kita ini juga lahir dari pengaruh alam sekeliling. Orang Melayu ke sawah, ke hutan bercucuk tanam. Dari pembuatan ekonomi ini lahirkan budaya Melayu.

Kita Melayu, kita bukan Arab. Bangsa Arab ada cara hidup dan budaya mereka sendiri. Kita Melayu Nusantara hidup dalam bumi tropika. Arab hidup dalam budaya padang pasir dan iklim bumi mereka.

Cina Malaysia bukan Cina dari Taiwan atau dari Peking. Cina Malaysia tidak tahu musim salji. Cina Malaysia tidak menanam buah epal atau buah lai. Cina Malaysia tanam buah durian dan manggis.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Masuk hari kedua sesudah pengundian selesai. Kerajaan masih belum terdiri. Yang di-Pertuan Agong memanggil Anwar dan Muhyiddin menghadap.

Agong ingin tahu siapa sebenar yang memiliki jumlah YB yang cukup untuk mendirikan kerajaan.

Monarki memberi cadangan untuk ditubuhkan Kerajaan Perpaduan. Ini kerana belum jelas siapa antara PH dan PN yang memiliki suara majoriti. Cadangan dari Agong ini adalah jalan tengah untuk menyelesaikan kemelut politik.

Saya menyokong cadangan Agong ini. Malah dari awal lagi apabila dirasakan tidak ada gabungan yang akan mendapat majoriti saya secara terbuka telah mengajukan Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Perpaduan ini menjemput semua parti politik bersama demi kesejahteraan rakyat. Ini untuk mengelakkan dari pangkah memangkah yang akan menyebabkan kepentingan ramai terganggu gugat.

Kerajaan Perpaduan akan mengurangkan politik untuk bersepadu menghadapi ekonomi dunia yang akan meleset.

Kerajaan Perpaduan amat diperlukan untuk kita bersiap sedia memasuki alam yang akan diubah oleh malapetaka cuaca.

Sayang sekali Muhyiddin setelah keluar dari Istana dia mengadakan sidang akhbar. Muhyiddin menolak cadangan Agong. Umum melihat apa yang dilakukan oleh Muhyiddin ini kasar, sombong dan bodoh.

Muhyiddin terus berpegang dengan 115 Akuan Bersumpah yang dimiliki. Jika PN memiliki 115 YB maknanya jumlah YB bersama Anwar tidak cukup untuk PH mendirikan kerajaan baru.

Di Sabah dan di Sarawak ketakutan terhadap ekstremis agama mula membawa perpecahan dalam GPS dan GRS.

Ketika ini Ketua Polis Negara umum PDRM akan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara. Suasana agak tegang.

Muncul satu klip video sebuah van membawa iklan: Say No To PAS. Polis Kuching telah menahan van dan pemandunya.

Satu klip video menular memperlihatkan anak-anak muda berkuda dengan bendera ala ISIS di Permatang Pauh. Polis Pulau Pinang menafikan bendera yang dikibar adalah bendera ISIS.

Tapi berkuda membawa bendera bukan kelaziman anak muda Melayu. Kalau merempit, masuk akal. Amin.

Agong daripada memberi cadangan kini Agong bertitah.

Titah Agong: Jalan terbaik menyelesaikan kemelut politik adalah mendirikan kerajaan perpaduan.

Dalam masa yang sama, Istana Negara mengumumkan Raja-Raja Melayu akan bersidang untuk membincangkan keadaan parlimen yang masih tergantung.

Apabila Agong bertitah, dan apabila para politikus mendengar Kakanda dan Adinda akan berjumpa maka dengan serta-merta perubahan berlaku.

Setelah mendengar titah Agong, saya yakin telefon Anwar Ibrahim tak putus-putus menerima sokongan untuk bersama dengan PH mendirikan kerajaan. Malah Hamzah Zainuddin antara pemimpin tertinggi dalam Perikatan Nasional telah membelakangkan Muhyiddin kerana tidak mahu ditinggalkan. Begitu juga pandangan Takiyuddin taiko dari PAS.

GRS dan GPS dengan serta-merta akur dengan titah Agung. Semua meninggalkan PN. Akhirnya jumlah sokongan kepada PH membuak naik.

Apabila Raja-Raja Melayu bersidang ini hanyalah formaliti. Titah Agung telah lebih awal menyempurnakan angka yang selama ini dicari gali oleh Anwar Ibrahim.

Justeru saya seorang Republikan berterima kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana telah menyelamatkan Malaysia. Tanpa monarki besar kemungkinan kemelut politik ini belum selesai.

Anwar Ibrahim dinobat sebagai PM ke-10. Kerajaan campuran PH dan BN didirikan. Amin.

Gaya hidup kita semua rakyat Malaysia selamat dan dapat diteruskan tanpa gangguan ekstremis agama.

Maka seperti dalam Sulalatus Salatin maka saya juga mengakhiri tulisan ini dengan sebuah pantun untuk ingatan cucu cicit kita:

Jagung ditanam rumput bercambah
Bijan ditabur berwarna merah
Agong bertitah nombor bertambah
Kerajaan gaya hidup berdiri megah

Amin.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen