Jumlah korban tragedi tembakan sekolah di Brazil naik


Tragedi itu adalah kejadian kedua belas tembakan rambang di Brazil sejak 2002, menurut institute kajian Sou da Paz. – Gambar EPA, 27 November, 2022.

JUMLAH korban dalam tragedi dua kes tembakan di Brazil naik kepada empat orang pada Sabtu selepas seorang guru yang cedera dalam serangan dilakukan remaja berusia 16 tahun memakai simbol Nazi meninggal dunia, kata pegawai.

Pihak berkuasa di bandar Aracruz, negeri Espirito Santo, berkata daripada 10 orang yang cedera termasuk tiga guru dan seorang pelajar berada dalam keadaan kritikal selepas serangan yang menggemparkan negara itu berlaku pada Jumaat, yang juga menyaksikan pertambahan kes tembakan rambang di sekolah sejak beberapa tahun lepas.

“Malangnya, tragedi Aracruz masih belum berakhir,” kata Gabenor Renato Casagrande pada Sabtu.

“Dengan penuh rasa kesal dan sedih kami mengumumkan kematian seorang lagi mangsa, cikgu Flavia Amboss Mercon,” kata gabenor menerusi Twitternya, yang juga mengumumkan hari berkabung selama tiga hari di negeri itu.

Penembak adalah bekas pelajar di sekolah awam yang menjadi sasaran pertamanya, apabila dia menembak sekumpulan guru, membunuh dua orang dan mencederakan sembilan yang lain.

Dia kemudiannya memasuki sekolah swasta berhampiran dan membunuh seorang remaja perempuan dan mencederakan beberapa yang lain.

Dia ditahan dan akan berdepan tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, kata polis Espirito Santo.

Waris mangsa mengadakan majlis pengebumian pada Sabtu, menurut media Brazil.

“Anak perempuan saya adalah cahaya dan cinta hidup saya. Saya kehilangannya kerana kebencian,” kata Thais Sagrillo, ibu kepada budak perempuan berusia 12 tahun yang terbunuh kepada Globonews.

Tragedi itu adalah kejadian kedua belas tembakan rambang di Brazil sejak 2002, menurut institute kajian Sou da Paz.

Serangan terbaru itu mencetuskan desakan pembaharuan polisi senjata api, dengan pengkritik menyalahkan arahan presiden yang melonggarkan peraturan senjata api dan bahan letupan di bawah pentadbiran bekas presiden Jair Bolsonaro yang berhaluan kanan.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang mengecam pelonggaran undang-undang itu mengalahkan Bolsonaro pada pilihan raya bulan lepas.

Pegawai berkata penembak, anak lelaki seorang anggota polis, menggunakan dua pistol dalam serangan itu yang didaftarkan atas nama ayahnya- satu adalah senjata rasmi dan satu lagi adalah senjata peribadinya.

Casagrande berkata remaja lelaki itu merancang serangan itu.

Rakaman video keselamatan disiarkan media Brazil menunjukkan penembak memasuki sekolah dengan memakai pakaian celoreng dan membawa pistol.

Penyiasat berkata mereka menemui simbol swastika dan sedang mencari kaitan remaja itu dengan mana-mana organisasi pelampau. – AFP, 27 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen