Anwar perlu satukan negara semula seperti Mandela


Salhan K. Ahmad

Anwar Ibrahim yang menghabiskan banyak masa di balik tembok penjara sering membandingkan pengalamannya dengan kekejaman dialami tokoh pembebasan Afrika Selatan, Nelson Mandela. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

BERAPA ramai di antara kita akan mengenang tarikh cuti umum 28 November yang diisytiharkan Anwar Ibrahim dalam sidang media sulungnya sebaik dilantik menjadi perdana menteri kesepuluh.

Mungkin ia memberi peluang berehat kepada ramai orang yang kehabisan banyak tenaga sejak parlimen dibubarkan pada Oktober lalu, tetapi adakah tarikh itu memberi apa-apa makna?

Anwar yang pernah menghabiskan banyak masa di balik tembok penjara sering membandingkan pengalamannya itu dengan kekejaman dialami tokoh pembebasan Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Mandela (1918 - 2013) dipenjara 27 tahun kerana kempen menentang dasar pemisahan kaum aparteid yang dianggap usaha menumbangkan kerajaan oleh pemerintah berhaluan kanan negara itu.

Selepas dibebaskan pada 1990, Mandela membawa partinya African National Congress ke tingkat kegemilangan dengan menewaskan parti kerajaan yang memenjarakan beliau dan menindas ramai rakyat.

Apabila Mandela dilantik menjadi presiden, timbul kebimbangan di kalangan kaum minoriti kulit putih Afrika Selatan bahawa beliau akan membalas dendam ke atas mereka.

Tetapi jangkaan itu meleset kerana perkara sebaliknya berlaku apabila dasar aparteid ditamatkan, yang menyebabkan Mandela disanjung masyarakat dunia.

Mandela memulakan usaha pemulihan politik dan menyatupadukan semula kaum negaranya dan hasrat tulus itu diperingati Afrika Selatan pada tarikh khusus 16 Disember setiap tahun.

Kini, Anwar juga berdepan cabaran sama dengan Mandela – menyatupadukan semula masyarakat selepas PRU15 yang menyaksikan Malaysia terbelah-belah.

PN membentuk gelombang tsunami Melayu apabila menang besar di negeri majoriti Melayu Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang dalam PRU15, kebanyakannya melalui PAS.

PN menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu manakala di Kedah, gabungan itu menang 13 dari 14 kerusi.

Di Pahang pula, PN menang 7 kerusi Parlimen dan dan 17 kerusi DUN dan di Perak pula, gabungan itu menang 10 kerusi kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN.

Ia membolehkan PAS menguasai 43 dari 73 kerusi Parlimen PN sebagai parti tunggal, paling banyak berbanding parti lain.

Namun parti Melayu ini tidak berjaya menguasai kerajaan persekutuan. Kenyataan ini tentu sukar dihadapi penyokong dan pemimpinnya.

Pengundi di kawasan ini, yang bertahun-tahun menjadi negeri pembangkang, akan bimbang dikhianati dan disisihkan lagi dari pembangunan. Kita sama-sama mengalaminya.

Tidak keterlaluan jika kita menjangka sentimen ini mampu berpadu menjadi gelombang besar dan meranapkan PH dalam pilihan raya di negeri-negeri dikuasainya tahun depan.

Kita juga mengesan percikan kecil api perkauman sewaktu negara dalam kebuntuan apabila tiada parti didapati menguasai majoriti hasil PRU15.

Kita berbangga kerana pasukan keselamatan negara cekap dan pantas memadamkan percikan api ini. Jika tidak, ia berpotensi marak besar.

Kita juga masih ingat prestasi PH sewaktu 22 bulan memimpin negara. Usaha menyatupadukan kaum ini ditangani kementerian khas tetapi ia seolah-olah tidak berfungsi waktu itu.

Kali ini, Anwar tidak boleh biarkan perkara sama berulang.

Beliau perlu menyegerakan usaha besar menyatukan rakyat seperti dilakukan Mandela. – 26 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen