Perikatan tidak akan sertai kerajaan Anwar, kata Muhyiddin


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata pakatan itu akan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan menyertai kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mahu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa, kata Muhyiddin Yassin hari ini.

Pengerusi PN ini berkata langkah ini diambil bagi menyuburkan demokrasi di negara ini dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen.

“PN akan memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen dan memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Bersatu bagaimanapun berkata pakatan itu bersedia menjalin bentuk kerjasama lain dengan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.

Beliau juga berterima kasih kepada Anwar kerana membuat tawaran untuk PN menyertai kerajaannya.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan.

Sebelum ini PAS berkata mereka akan mempertimbangkan tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduannya.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan membincangkannya dengan sekutu PN parti itu dalam masa terdekat.

“Kami juga akan meninjau pandangan orang ramai yang memberikan sokongan menggalakkan kepada PAS dan PN pada pilihan raya umum,” katanya.

Semalam Anwar, 75, mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus menamatkan kebuntuan pasca pilihan raya umum Sabtu lalu.

Hari ini Anwar berkata kerajaannya mendapat sokongan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6) Warisan (3) dan Parti Bangsa Malaysia (1).

Bersama PH, sokongan ahli Parlimen ini memberikan Anwar majoriti “meyakinkan” seramai 145 orang. – 25 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen