Setelah seminggu, apakah Malaysia masih berdukacita?


Hadri Shah

BUAT sedetik cuma, ayuh, lupakan perihal pilihan raya umum yang bakal menjelang. Buat sedetik cuma, ayuh, lupakan juga perbincangan ala “kedai kopi” siapa lebih layak menjadi Perdana Menteri Malaysia; Najib atau Dr Mahathir atau apakah Pakatan Harapan mampu menumbangkan keangkuhan Barisan Nasional.

Kerana seminggu yang lepas, anak-anak muda Malaysia bergocoh di medan media sosial; mereka menerobos intim, menganalisis, mengulas dan bercakap-cakap serius tentang laporan terbaru Unicef bertajuk  “Kanak-kanak Pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur”.

Setelah terpaksa menerima kenyataan dari laporan itu, mereka tersedar itulah hari paling berdukacita buat Malaysia. Mereka merasa terlalu sakit menerima realiti. Dunia mereka kelam. Data-data yang sebelum ini mempesonakan tentang gaji penengah bertambah, kadar kemiskinan dalam negara diberitakan berkurang, peratusan pengangguran turut mengecil dan ekonomi yang dilabun-labunkan berkembang tertunda saat mereka membaca laporan terbaru Unicef itu. 

Lalu mereka merasa sebak, hiba, dan tidak mampu menakung air mata dengan lebih lama apabila dikejutkan dengan nombor dan jumlah peratusan, sekian fakta, juga laporan Unicef betapa anak-anak Malaysia yang tinggal di merata flat kos rendah dan rumah pangsa di sekitar Kuala Lumpur hidup di bawah paras kemiskinan.

Tidak seperti anak cucu menteri dan golongan elitis, melalui Unicef, hari-hari bahagia mereka tergendala apabila diberitahu bahawa terlalu ramai anak-anak di kawasan flat kos rendah dan rumah pangsa mengalami tumbesaran yang terbantut, kurang nutrisi dek kerana pendapatan keluarga yang tidak mampu mendapatkan  makanan berkhasiat. Lebih menghibakan, 51% anak-anak di bawah umur 5 tahun tidak melalui sesi prasekolah. Mereka tidak punya permainan dan buku untuk ditelaah. Persekitaran mereka kotor, berbahaya dan keadaan rumah yang menyesakkan.

Tetapi setelah seminggu laporan itu dikeluarkan, keadaan seperti semakin pulih.

Kita bukan berbicara tentang keadaan hidup anak-anak flat. Kita sedang berbicara tentang momentum kesedihan anak-anak muda tadi pasca laporan Unicef.

Kehibaan, rasa dukacita dan marah mereka seolah sudah terpadam. Datuk Bandar Kuala Lumpur, kelas pemerintah, ahli Parlimen seperti kebiasaannya membisu walaupun sudah seminggu laporan ini dicanangkan. Begitu juga dengan kelompok pembangkang. 

Sunyi sepi. 

Hanya Nurul Izzah Anwar sahaja yang “terpaksa” berterus terang bahawa pusat khidmatnya sudah berzaman membuka kelas tuisyen percuma menggunakan duit gaji sendiri tanda kepeduliannya terhadap anak-anak flat kos rendah.

Selain itu, segalanya kembali tenang dan pulih seperti sebelumnya. Tiada lagi fakta dan analisis dikongsi di media sosial. Tiada lagi tekanan- tekanan dihamburkan kepada pihak berwajib. Semuanya tidak ada.

Anak-anak muda ini, berpihak kepada anak-anak dan keluarga flat yang tertindas – yang menghafal 52% pendapatan isi rumah tidak mampu membeli makanan, yang memboikot dan membawa agenda undi rosak PRU, yang berperwatakan rebel dan radikal – semuanya sudah hilang dari skrin.

Ke manakah mereka pergi saat kewajipan mereka mendesak dan membawa stamina memprotes pihak berwajib, datuk bandar dan ahli politik? Kenapakah mereka tidak mengatur sesuatu sepanjang seminggu ini?

Apakah mereka masih terapung dalam molekul-molekul idea yang diperoleh daripada buku-buku bacaan mereka? Atau mereka masih terperangkap dalam urusan pertengkaran siapa lebih tulen haluan kiri atau kanannya? Atau sebenarnya mereka sekadar menganalisis dan berkongsi laporan ini di media sosial supaya ternampak kepedulian mereka?

Dalam persoalan ini, barangkali teori Karl Marx tentang “pengasingan” (alienation) paling relevan. 

Marx, yang beranggapan aspek pemisahan utama ialah pekerja (manusia) terpisah dari mengurus sendiri hasil produksinya (kehidupan) dan akhirnya diambil oleh majikan (kerajaan) menjelaskan persamaan tugas anak-anak muda dalam isu krisis kemiskinan khususnya melibatkan anak-anak flat kos rendah. 

Anak-anak muda terasing dalam usaha mereka meneruskan momentum memberi “awareness” (kesedaran) dengan cara menulis (konsisten) atau menyusun dan mengatur sesuatu supaya dasar dan polisi yang semestinya melibatkan kuasa politik digerakkan untuk membawa kepada jalan penyelesaian. 

Apa yang lebih malang, stamina ini hilang setelah seminggu, meninggalkan fokus sebenar; dari hal pelancaran tudung di kelab malam kepada isu penceraian pemuzik bernama Ude terhadap isteri pertamanya setelah berkahwin dengan pelakon drama petang-petang, Izreen. – 6 Mac, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tahniah. Anda membangkitkan persoalan kritikal yg penting . Never ever lose your sense of moral outrage. That is the spirit of the universal Islam

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amriah Buang · Ulasan