Rakyat tolak pengkhianat PKR, kata penganalisis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Antara pemimpin yang dipercayai menjadi dalang utama gerakan yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

RAKYAT tidak melupakan pengkhianatan sekumpulan bekas ahli Parlimen PKR pada Februari 2020 sehingga menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

Menurutnya, kekalahan hampir semua pembelot yang bertanding dengan tiket parti baharu di kubu kuat PH jadi bukti rakyat tidak memaafkan mereka.  

“Kebanyakan mereka bertanding di bawah parti Bersatu dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) kali ini dan di parlimen yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH), disebabkan itu rakyat menolak mereka.

“Rakyat tidak akan lupa sama sekali pemimpin yang mengkhianati mandat mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mengenai kemenangan Saifuddin Abdullah di Indera Mahkota, Pahang, Mazlan berkata, kemenangan itu disebabkan rakyat masih ingat jasa wakil rakyat yang pernah bekerja untuk mereka.

“Tetapi itu bukan majoriti besar yang dimenangi Saifuddin,” katanya.

Mazlan turut menyatakan kemenangan beberapa ahli politik di Sabah dan Sarawak adalah disebabkan politik ketokohan yang dipamerkan di Borneo.

“Politik di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak adalah berbeza.

“Jika di Sabah dan Sarawak, rakyat memilih pemimpin berdasarkan ketokohannya dan bukan parti.

“Disebabkan itu, sebelum ini beberapa pemimpin lain yang tukar parti masih diterima rakyat, tetapi ini tidak akan berlaku di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir juga senada dan mengatakan pembelot mandat rakyat perlu menerima keputusan ini dengan terbuka.

“Macam Zuraida (Kamarudin) dan Saifuddin memang membuktikan bekerja untuk rakyat di parlimen itu tetapi mereka mengkhianati mandat rakyat.

“Keputusan ini akan menjadi pengajaran kepada ahli parlimen lain juga, jangan khianati mandat rakyat,” katanya.

Berikut adalah senarai ahli Parlimen yang berpaling tadah dan prestasi mereka pada PRU15:

Mohamed Azmin Ali

Mohamed Azmin Ali adalah timbalan presiden PKR sebelum Langkah Sheraton berlaku dan dipercayai menjadi dalang utama gerakan yang menumbangkan kerajaan PH itu.

Selepas PH tumbang di Putrajaya, beliau masuk Bersatu dan dilantik sebagai menteri kanan dalam Kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Pada PRU15, beliau bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Gombak di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) dalam persaingan lima penjuru.  

Mohamed Azmin Ali yang merupakan timbalan presiden PKR sebelum Langkah Sheraton berlaku dipercayai menjadi dalang utama gerakan yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

Azmin menjadi sebagai Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal di bawah tiket PKR. Pada 2018, Azmin menang dengan majoriti 48,721 undi.

Tetapi, pada PRU15, Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu kalah dengan rakan seperjuangannya yang juga “anak didiknya” Amirudin Shari.

Amirudin meraih 72,267 undi manakala Azmin memperoleh 59,538 undi.

Calon BN, Megat Zulkarnain Omardin (BN) memperoleh 30,723 undi.

Dua lagi calon, Dr Aziz Jamaludin (Pejuang) dan calon bebas, Zulkifli hilang deposit apabila masing-masing meraih 675 undi.

Zuraida Kamaruddin

Zuraida sebelum ini adalah naib presiden PKR dan penyandang kerusi Parlimen Ampang.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,956 undi di bawah tiket PKR pada PRU14 namun pada PRU15 beliau mempertahankan kerusinya di bawah tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Selepas Langkah Sheraton, Zuraidah mengikut jejak Azmin menyertai Bersatu namun keluar parti untuk menyertai PBM.

Beliau adalah menteri bagi kerajaan-kerajaan sebelum ini termasuk ketika pentadbiran PH.

Pada PRU15, Zuraida bertarung dengan lapan calon lain di Ampang.

Lawannya, Rodziah Ismail (PH), Ivone Low Yi Wen (BN), Sasha Lyna Abdul Latif (PN), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas M Raveendran, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos serta Tan Hua Meng.

Zuraida gagal mempertahankan parlimen Ampang apabila kalah kepada Rodziah apabila hanya meraih 26,073 undi berbanding calon PH, Rodziah, yang meraih 56,754 undi.

Selepas Langkah Sheraton, Zuraidah Kamarudin mengikut jejak Azmin Ali menyertai Bersatu namun keluar parti untuk menyertai PBM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

Saifuddin Abdullah

Bekas ahli politik Umno ini beralih ke PKR pada 2015 sebelum menyertai Bersatu pada 2020.

Beliau menang kerusi Indera Mahkota pada PRU14 atas tiket PH menewaskan calon BN Johan Mat Sah dengan majoriti 10,950 undi.

Pada PRU15, Pengerusi PN Pahang ini mempertahankan kerusinya dengan menentang tiga calon lain, Quek Tai Seong (BN), Zuraidi Ismail (PH) dan Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang).

Saifuddin merupakan antara empat pemimpin paling tadah yang berjaya mengekalkan kemenangannya dengan majoriti 8,399 undi.

Saifuddin meraih 41,692 undi manakala Zuraida mendapat 33,293 undi, Quek (16,530) dan Mohamad Nor hilang deposit dengan hanya 1,864 undi.

Kamaruddin Jaafar

Kamaruddin menjadi ahli kepada tiga parti politik besar di negara ini - Umno, PAS dan akhir sekali PKR sebelum menyertai Bersatu pada 2020.

Beliau menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU14 dengan majoriti 19,930 undi.

Dalam pilihan raya kali ini, Kamaruddin kalah kepada penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 9,817 undi.

Wan Azizah meraih 43,476 undi manakala Kamarudin 33,659 undi.

Seorang lagi calon yang bertanding di parlimen berkenaan adalah BN-MCA Chew Yin Keen yang memperoleh 15,886 undi.

Kamaruddin Jaafar menjadi ahli kepada tiga parti politik besar di negara ini - Umno, PAS dan akhir sekali PKR sebelum menyertai Bersatu pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

Mansor Othman

Mansor sebelum ini bertugas sebagai setiausaha politik Anwar sebelum bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU13 dan PRU14.

Pada pilihan raya lepas, Mansor menang kerusi Nibong Tebal dengan majoriti 15,817 undi.

Beliau kemudian meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu pada 2020.

Mansor yang berdepan pertandingan empat penjuru pada PRU15 ini melawan R.S Thanenthiran (BN), Fadhlina Sidek (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Calon PH, Fadhlina mengalahkan tiga calon lelaki dengan majoriti 16,293 undi apabila meraih 42,188 jumlah undi.

Mansor memperoleh 25,895 undi, Thanenthiran (10,660) dan Goh hilang deposit apabila mendapat hanya 565 undi.

Rashid Hasnon

Rashid Hasnon sebelum ini menang di Parlimen Batu Pahat atas tiket PKR pada PRU14 dengan majoriti 17,895 undi.

Beliau yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat itu mempertahankan kerusinya itu di bawah payung Bersatu, komponen Perikatan Nasional.

Beliau ditentang empat pencabarnya Onn Abu Bakar (PH), Ishak@ Mohd. Farid Siraj (BN), Zahari Osman (Parti Rakyat Malaysia) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir (Pejuang).

Bagaimanapun, pada PRU15, Rashid kalah dengan Onn apabila calon PH itu meraih 45,242 undi.

Rashid pula memperoleh 29,270 undi dan Ishak (24,309 undi).

Manakala Nizam dan Zahari hilang deposit apabila masing-masing hanya meraih 410 dan 263 undi.

Baru Bian

Baru antara ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu pada 2020, yang kemudian menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau tidak mempertahankan kerusi Selangau pada pilihan raya kali ini, tetapi berpindah ke Lawas dan bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu.

Baru bersaing dengan penyandang kerusi Lawas Henry Sum Agong dari GPS dan Japar Suyut dari PKR.

Baru ditewaskan oleh Henry dengan majoriti 5,677 undi.

Henry memperoleh 11,361 undi manakala Baru hanya 5,684 undi dan Japar pula hilang deposit apabila menerima 1,163 undi.

Baru Bian antara ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu pada 2020, yang kemudian menjadi wakil rakyat Bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

Ali Biju

Penyandang Parlimen Saratok ini yang berdepan pertembungan tiga penjuru pada PRU15 gagal mempertahankan kerusinya yang dimenangi atas tiket PH ketika PRU14 lalu.

Pada PRU14 beliau menang dengan 11,848 undi dalam persaingan satu lawan satu menentang Subeng Mula (BN).

Ali yang juga bertukar parti dari PKR ke Bersatu dalam Langkah Sheraton kini mewakili PN dalam pilihan raya kali ini.

Dalam pertembungan kali ini, Ali berjaya mempertahankan penguasaannya di Saratok dengan 19,223 undi.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Giendam Jonathan Tait pula meraih 10,397 undi manakala Calon PH, Ibil Jaya Hilang deposit apabila hanya memperoleh 1,221 undi.

Willie Mongin

Willie menganggotai PKR dari 2009 hingga 2020.

Beliau pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum pada 2013, tewas kepada calon BN James Dawos Mamit di Mambong.

Pada 2018, beliau sekali lagi bertanding dan menang di kerusi Parlimen Puncak Borneo dengan majoriti 4,005 dalam pertembungan tiga penjuru.

Willie keluar PKR lalu masuk Bersatu selepas kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. Kemudian beliau sertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu awal tahun ini.

Pada pilihan raya umum kali ini penyandang kerusi Puncak Borneo itu berjaya mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 13,338 undi.

Calon PKR, Diog Dios memperoleh 16,119 undi manakala Iana Akam yang mewakili Parti Sarawak Bersatu hilang deposit apabila meraih 5,578 undi.

Willie Mongin keluar PKR lalu masuk Bersatu selepas kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. Kemudian beliau sertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu awal tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

Jonathan Yasin

Jonathan menang kerusi Parlimen Ranau pada 2018, dan bertanding pada PRU15 atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mewakili Bersatu.

Pada 2018, beliau menang dengan majoriti 1,076 dalam persaingan empat penjuru.

Pada pilihan raya umum kali ini, seramai lima calon merebut kerusi Ranau.

Jonathan mengekalkan kemenangan dengan 22,606 undi dan menewaskan empat calon lain dengan majoriti 11,092.

Di Ranau, parti komponen BN, Parti Bersatu Rakyat Sabah meletakkan bekas menteri persekutuan Ewon Ebin yang memperoleh 4,254 undi dan hilang deposit.

Tiga calon lain yang bertanding adalah calon PH Taufik Dahlan yang meraih 11,514 undi; Warisan, Markos Situn (2,657) dan Pejuang, Azizul Julirin (1,267).

Bekas ahli Parlimen PKR lain yang turut menyertai Bersatu adalah bekas naib presiden Xavier Jeyakumar dan bekas ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara.

Xavier keluar PKR tahun lepas untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong Muhyiddin. Beliau masuk PBM pada Oktober.

Sementara Santhara pula menyertai Bersatu selepas gerakan Langkah Sheraton pada Februari 2020. Beliau juga masuk PBM bulan lepas.

Santhara dan Xavier tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini. – 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen