Najib belanja RM1.2 juta di hotel Trump pada 2017, kata laporan


Kerajaan dari enam negara membelanjakan lebih AS$750,000 (RM3.4 juta) di hotel milik Donald Trump di Washington semasa beliau presiden AS pada 2017 dan 2018, kata laporan. – Gambar AFP, 15 November, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak dan rombongannya membelanjakan AS$259,724 (RM1.2 juta) di sebuah hotel kepunyaan Donald Trump di Washington pada September 2017, menurut laporan jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan itu, Najib menginap di bilik presidential suite di Trump International Hotel berharga AS$10,000 untuk satu malam, dan membelanjakan AS$44,562 selama tiga hari selain AS$1,500 lagi untuk bayaran jurulatih peribadi.

Najib dan keluarganya ketika itu disiasat Jabatan Kehakiman AS (DoJ) atas dakwaan menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata laporan dikeluarkan Jawatankuasa Pemantau Dewan, berdasarkan makumat diperolehi dari bekas firma perakaunan Trump, Mazars USA.

Jawatankuasa itu berkata rombongan kerajaan dari enam negara termasuk Malaysia membelanjakan lebih AS$750,000 (RM3.4 juta) di hotel tersebut ketika cuba mempengaruhi pentadbiran Trump semasa beliau presiden AS pada 2017 dan 2018.

Lima negara lain adalah China, Qatar, Arab Saudi, Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), katanya.

Carolyn Maloney, wakil Demokrat di New York yang mempengerusikan jawatankuasa itu, berkata dokumen tersebut mendedahkan pegawai-pegawai kerajaan terbabit “cuba mempengaruhi dasar luar Amerika” sepanjang penginapan di hotel Trump.

Laporan jawatankuasa itu seterusnya mendedahkan pegawai kerajaan Arab Saudi dan UAE juga membelanjakan ratusan ribu dolar di Trump International Hotel pada 2017 dan 2018.

Dalam satu kenyataan kepada The New York Times, anak lelaki Trump, Eric berkata keuntungan diperolehi daripada penginapan rombongan kerajaan negara terbabit dikembalikan kepada kerajaan persekutuan melalui bayaran tahunan kepada Jabatan Perbendaharaan AS. – AFP, 15 November, 2022.   

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen