Tragedi MH17: Mahkamah Belanda putuskan Khamis ini


Warga Rusia Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan warga Ukraine Leonid Kharchenko berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan dengan tuduhan membunuh dan menyebabkan pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas. – Gambar AFP, 13 November, 2022.

HAKIM Belanda akan memberikan keputusan mereka pada Khamis dalam perbicaraan empat lelaki yang dituduh menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.

Keputusan itu dikeluarkan dengan latar belakang ketegangan pencerobohan Moscow ke atas Kyiv yang kini sudah mencecah sembilan bulan.

Dalam kejadian pada 2014 itu, semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh apabila Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak di timur Ukraine yang dikuasai pemisah.

Pihak pendakwa mengatakan kapal terbang itu ditembak menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan Moscow.

Warga Rusia Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan warga Ukraine Leonid Kharchenko berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan dengan tuduhan membunuh dan menyebabkan pesawat tersebut terhempas.

Namun keempat-empat suspek terbabit masih bebas dan enggan menghadiri perbicaraan selama dua setengah tahun di Belanda.

Lapan tahun selepas kejadian itu, wilayah di mana MH17 terhempas telah menjadi salah satu medan tempur utama dalam pencerobohan Rusia di Ukraine.

Para keluarga mangsa akan hadir ke mahkamah keselamatan tinggi berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, dekat dengan tempat pesawat itu berlepas, bagi mendengar keputusan panel tiga hakim pada Khamis.

“Jika mereka bersalah, masyarakat antarabangsa harus memburu mereka,” kata Evert van Zijtveld kepada AFP. Beliau kehilangan anak perempuannya Frederique, 19, anak lelakinya Robert-Jan, 18, dan mertuanya.

“Saya tidak boleh maafkan mereka.”

Mainan bergelimpangan

Nahas MH17 menyebabkan dunia berang, dengan ladang bunga matahari yang terkenal di Ukraine dipenuhi dengan mayat dan serpihan. Beberapa mangsa, termasuk kanak-kanak, masih terikat di tempat duduk mereka.

Pendakwa raya berkata, suspek adalah sebahagian daripada pasukan pemisah yang disokong Kremlin dan memainkan peranan penting dalam membawa sistem peluru berpandu BUK ke Ukraine dari pangkalan tentera di Rusia.

Peguam bela Pulatov, satu-satunya suspek yang mempunyai perwakilan undang-undang, berpendapat perbicaraan itu tidak adil.

Mereka berkata pihak pendakwa gagal membuktikan peluru berpandu BUK menjatuhkan pesawat itu, dan juga telah mengemukakan “senario alternatif” seperti jet Ukraine menembaknya.

Moscow telah menafikan semua penglibatan.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwa amat bergantung pada panggilan telefon yang dipintas dan data telefon mudah alih yang didakwa mengesan suspek berhampiran tapak pelancaran atau di pusat membuat keputusan.

Mereka juga telah menggunakan kenyataan saksi – termasuk seorang bekas pemisah semasa dia menggambarkan “mainan kanak-kanak bergelimpangan” di tempat kejadian – ditambah dengan bukti video dan foto mengenai pergerakan peluru berpandu itu.

Bahan forensik termasuk serpihan yang ditemui dalam mayat mangsa dipetik bagi membuktikan ia adalah peluru berpandu BUK. – AFP, 13 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen