Pendakwa gesa suspek MH17 dihukum penjara seumur hidup


Hakim Hendrik Steenhuis (kanan) berdiri di sebelah serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dibina semula, di pangkalan udara tentera Gilze-Rijen, Belanda. Hakim memeriksa serpihan penerbangan MH17 sebagai sebahagian daripada perbicaraan jenayah terhadap empat suspek. – Gambar AFP, 22 Disember, 2021.

PENDAKWA raya Belanda pada Rabu menggesa hukuman penjara seumur hidup bagi empat suspek yang dituduh membunuh 298 penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines MH17 dengan peluru berpandu darat ke udara.

Penerbangan malang menuju Kuala Lumpur itu berlepas dari lapangan terbang Schipol Amsterdam pada Julai 2014. 

Pendakwa raya minggu ini melancarkan hujah penutup dalam perbicaraan yang dikawal rapi.

Keputusan dijangka diketahui paling awal hujung 2022.

Empat suspek yang dibicarakan ialah warga Rusia Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov, dan warga Ukraine Leonid Kharchenko, yang dituduh melancarkan peluru berpandu BUK yang mengenai pesawat di atas timur Ukraine yang dilanda perang.

“Kami minta suspek Girkin, Dubinsky, Pulatov dan Kharchenko, atas tanggungjawab mereka menembak pesawat yang membawa kepada kematian dan pembunuhan 298 orang, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup,” kata pendakwa raya Manon Ridderbeks kepada mahkamah pada Rabu.

Keempat-empat mereka enggan hadir di mahkamah di Belanda dan dibicarakan secara in absentia, tanpa kehadiran.

Pendakwa raya berhujah minggu ini empat suspek memainkan peranan penting dalam menggunakan sistem BUK, yang kemungkinan besar bertujuan untuk menyerang pesawat perang Ukraine.

“Jika ini adalah niatnya, itu tidak mengubah tuduhan menjadikannya sebagai perbuatan jenayah,” kata pendakwa raya Thijs Berger kepada hakim pada Isnin.

“Kesilapan dalam sasaran juga tidak memberi perbezaan kepada bukti bahawa jenayah seperti itu telah dilakukan,” katanya di mahkamah keselamatan tinggi, berhampiran lapangan terbang Schiphol Amsterdam.

Tambahnya lelaki itu tidak “menekan butang secara sendiri”, tetapi mereka juga tidak kurang bersalah.

Penyiasat antarabangsa berkata peluru berpandu BUK pada asalnya dibawa dari pangkalan tentera Rusia, kononnya untuk digunakan dalam memerangi tentera Ukraine. – AFP, 22 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen