PERBICARAAN terhadap empat lelaki atas tuduhan membunuh susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 bermula di Belanda, walaupun suspek masih bebas.
Ia susulan daripada cubaan keluarga 298 mangsa yang terbunuh dalam insiden itu untuk mendapatkan keadilan selepas pesawat berkenaan ditembak jatuh di Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Tahun lalu, pihak pendakwa raya Belanda mendakwa warga Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan warga Ukraine Leonid Kharchenko yang dikaitkan dengan puak pemisah pro-Moscow di timur Ukraine, berhubung tragedi itu.
Walaupun waran tangkap antarabangsa dikeluarkan untuk menahan mereka, tiada seorang pun daripada mereka akan hadir ke mahkamah tinggi yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Schipcol.
Ketua hakim Hendrik Steenhuis akan memulakan prosiding dengan memeriksa sama ada defendan hadir ke mahkamah.
Sekiranya mereka tidak hadir, tiga panel hakim akan meneruskan kes itu tanpa kehadiran mereka.
Mahkamah dijangka akan dibanjiri oleh keluarga mangsa, peguam dan pemberita dari seluruh dunia untuk mengikuti perbicaraan yang dijangka berlarutan sehingga setahun.
Perdana Menteri Belanda Mark Rutte memberi jaminan, perbicaraan itu akan dijalankan secara “bebas” dan yang penting katanya, kebenaran dapat dicari bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka”.
Lebih dua pertiga daripada jumlah mangsa, adalah warga Belanda. – AFP, 9 Mac, 2020.
Komen