Ketum merosakkan, tidak boleh jadi sumber jana kekayaan, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi GTA Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan orang ramai ketika berkempen untuk Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahaya yang bertanding kawasan Parlimen Sungai Petani. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 12 November, 2022.

TANAMAN ketum tidak sesuai untuk dijadikan sumber pendapatan bagi mendapatkan kekayaan kerana ia mampu merosakkan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata pendapatan untuk mendapatkan kekayaan seharusnya berasal daripada sumber yang halal.

“Jangan kita pandang duit macam itu, duit kita guna untuk benda halal, jangan cari duit dengan cara yang haram.

“Ini niat tak baiklah, nak guna nak rosak orang Melayu itu tak baik, niat tak baik,” katanya, yang ditemui pada majlis minum teh di Kampung Bukit Berangan di Kota Kuala Muda, semalam.

Beliau berkempen untuk Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahaya yang bertanding kawasan Parlimen Sungai Petani.

Dr Mahathir mengulas cadangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor untuk membenarkan ketum dieksport dan menjadi sumber kekayaan sekiranya Perikatan Nasional (PN) memerintah.

Katanya, cadangan itu menunjukkan parti itu lebih mementingkan duit.

Dakwanya, itu merupakan amalan sama yang digunakan bekas perdana menteri Najib Razak, sewaktu memerintah negara.

“Mereka nampak duit saja. Ada orang yang negara dia pun dia jual dia tak peduli asalkan dapat duit saja.

“Ini amalan baru dibawa Najib, ‘cash is king’, dia sembah duit, untuk duit apa pun tak apa, jual bangsa, jual agama, jual negara pun tak apa, asalkan dapat duit,” kata Dr Mahathir.

Dalam ucapannya Dr Mahathir turut menyentuh berkenaan parti agama yang katanya tidak tahu mentadbir selepas diberikan kuasa memerintah.

“Kita dapati ada pihak mengguna agama untuk dapat kuasa, mereka bila dapat kuasa tak tahu nk buat apa dengan kuasa.

“Sebab itu kita dapati apabila orang yang kononnya cekap dalam agama bila diberi kuasa memerintah tak dapat memerintah dengan baik,” katanya.

Tambahnya, golongan seperti itu juga menyalahgunakan agama demi mahu mendapatkan kuasa.

“Mereka tak boleh diberi kuasa memerintah kerana tak cekap pemerintahan. Kita lihat negeri diperintah mereka termiskin sekali di Malaysia kerana tak cekap memerintah.

“Demikian negeri diperintah mereka, mereka sudah 20 tahun air tak boleh minum, ini orang agama tapi kadang-kadang mereka salah gunakan agama,” katanya, dipercayai merujuk pemerintahan PAS di Kelantan.

Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang berada di bawah pentadbiran PAS hanya menjalankan pemilihan bagi peringkat Parlimen dan memilih untuk tidak membubarkan DUN pada PRU15 kali ini.

Dr Mahathir juga melihat medan PRU15 kali ini menyaksikan kumpulan pengundi yang hanya mementingkan kebendaan berbanding kepentingan demi agama, bangsa dan negara.

“Dalam PRU kali ini kita berdepan Melayu yang utamakan duit, kalau bagi mereka duit tak apalah (sokong) parti penyamun dan perompak asal dia bagi duit, kalau itu duit curi pun mereka kata itu masalah mereka (pemimpin parti) bukan kita.

“Sampai ada PRU kita minta sokong Pejuang kerana Pejuang berjuang untuk agama, bangsa, dan negara, tetapi mereka kata apa Pejuang bagi kita?.

“Mana-mana saja kita pergi kita tuntut sayang kepada bangsa, agama, dan negara, tetapi mereka hanya sayangkan duit dan parti,” tambahnya.

Manakala kumpulan yang memilih bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) juga kata Dr Mahathir lebih tertarik kepada duit berbanding semangat kebangsaan.

“Mereka sokong Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan kerana mereka itu pegang perasaan sayangkan negara sebaliknya pasal nak dapat duit.

“Daripada presiden (Ahmad Zahid Hamidi) hingga ahli di akar umbi mereka kira duit, bila kita minta bantu Pejuang mereka tanya nak bagi berapa.

“Sayang kepada bangsa, negara, dan agama tidak ada, kesayangan mereka untuk parti sebab parti bagi duit, mereka juga jadi macam Najib yang menyembah duit,” kata Dr Mahathir. – 12 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen