Tentera kawal 70% wilayah Tigray, kata kerajaan Ethiopia


Kerajaan Ethiopia berkata wilayah utara Tigray yang bergolak kini berada di bawah kawalan tentera persekutuan.– Gambar AFP, 11 November, 2022.

KERAJAAN Ethiopia berkata 70% wilayah utara Tigray yang dilanda perang kini berada di bawah kawalan tentera persekutuan.

“70% daripada Tigray berada di bawah ENDF (Pasukan Pertahanan Kebangsaan Ethiopia),” penasihat keselamatan negara Perdana Menteri Abiy Ahmed, Redwan Hussein menyiarkan di Twitter.

“Bantuan disalurkan seperti masa-masa lain,” katanya sambil menambah bahawa trak makanan dan ubat-ubatan telah dihantar ke bandar strategik Shire.

AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan itu, yang dibuat selepas kerajaan dan pemberontak Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) mencapai perjanjian pada 2 November bertujuan menamatkan konflik dua tahun.

Akses ke utara Ethiopia kekal sangat terhad dan Tigray, yang mempunyai populasi kira-kira enam juta orang, masih tidak dapat diakses oleh wartawan.

Wilayah paling utara berada dalam cengkaman krisis kemanusiaan yang teruk kerana kekurangan makanan dan ubat-ubatan, dan terdapat akses terhad kepada perkhidmatan asas termasuk elektrik, perbankan dan komunikasi.

Perjanjian damai ditandatangani di ibu negara Afrika Selatan, Pretoria selepas lebih kurang seminggu rundingan yang diuruskan oleh Kesatuan Afrika antara kerajaan persekutuan dan delegasi TPLF.

Ia terutamanya menyeru untuk menamatkan pertelingkahan, pemulihan bantuan kemanusiaan, penubuhan semula pihak berkuasa persekutuan ke atas Tigray dan pelucutan senjata pejuang TPLF.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Rabu menggesa bantuan besar-besaran makanan dan ubat-ubatan disalurkan ke Tigray berikutan perjanjian gencatan senjata, mengatakan bantuan yang sangat diperlukan belum dibenarkan masuk.

“Ramai mati akibat penyakit yang boleh dirawat. Ramai orang mati akibat kebuluran,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang berasal dari Tigray, pada sidang akhbar.

“Walaupun di tengah-tengah pertempuran, orang awam memerlukan makanan, memerlukan ubat. Ia tidak boleh menjadi syarat.”

Rundingan telah dijalankan di ibu negara Kenya, Nairobi minggu ini antara wakil pihak yang bertelagah untuk meneruskan perjanjian Pretoria. – AFP, 11 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen