RTM-MYTV tandatangan persetujuan siaran penajaan Piala Dunia 


Piala Dunia Qatar 2022 akan bermula 20 November hingga 18 Disember ini.– Gambar EPA, 10 November, 2022.

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) hari ini menandatangani persetujuan penajaan siaran Piala Dunia Qatar 2022 bersama MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. (MYTV).

Ketua Pengarah Penyiaran Che Roslan Che Daud berkata menerusi persetujuan itu, MYTV akan menyampaikan tajaan sebanyak RM3 juta dalam menyokong usaha kerajaan untuk menyiarkan aksi-aksi Piala Dunia berdefinisi tinggi (HD) secara percuma kepada rakyat.

Beliau berkata ia adalah tambahan kepada RM32.5 juta, yang diluluskan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan.

“Kita juga dalam perbincangan dengan syarikat lain dan masih terbuka kepada mana-mana penaja yang mahu membina jenama mereka dengan RTM, terutamanya apabila rating TV2 agak tinggi,” katanya selepas menandatangani persetujuan itu di Angkasapuri di Kuala Lumpur, hari ini.

RTM akan menyiarkan 41 perlawanan, iaitu 27 siaran langsung dan 14 siaran tertunda menerusi saluran TV2, TV Okey dan Sukan RTM, bagi Qatar 2022 bermula 20 November hingga 18 Disember ini, yang antaranya melibatkan pasukan pilihan seperti Jerman, Brazil, Argentina, Perancis dan England.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Che Roslan mewakili RTM dan Mohamad Helmi Harith selaku Ketua Pegawai Eksekutif MYTV.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MYTV Azlina Mohd Yusof berkata pihaknya akan menjalankan promosi Piala Dunia di seluruh negara, termasuk 70 kedai makan dalam meningkatkan kesedaran mengenai MYTV.

“MYTV mempunyai lebih lima juta penonton sejak dilancarkan pada 2019. Kami sasar untuk meningkatkannya kepada lapan juta dalam masa terdekat, menerusi aktiviti lapangan dan promosi supaya lebih dikenali rakyat.

“MYTV memberi rakyat satu pengalaman yang baik untuk menonton aksi bola sepak bertaraf dunia menerusi kualiti HD secara percuma dan tanpa gangguan cuaca,” katanya. – Bernama, 10 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen