MYTV bakal perkenalkan perkhidmatan televisyen mudah alih 


Perkhidmatan televisyen mudah alih merupakan hasil kerjasama rakan kongsi MYTV, ACOTech yang berperanan membangunkan perisian unit infotainment, seterusnya memperluaskan perkhidmatan itu bukan hanya terhad di kaca televisyen rumah, kata Naib Presiden Operasi Penyiaran MYTV Azman Fitton. – Gambar Facebook, 20 Ogos, 2022.

SYARIKAT penyedia platform televisyen digital terestrial (DTT), MYTV Broadcasting Sdn Bhd akan memulakan perkhidmatan televisyen mudah alih secara percuma hujung tahun ini, yang boleh diakses menerusi telefon pintar dan televisyen di dalam kereta.

Naib Presiden Operasi Penyiaran MYTV Azman Fitton berkata inisiatif itu, merupakan hasil kerjasama rakan kongsi MYTV, ACOTech yang berperanan membangunkan perisian unit infotainment, seterusnya memperluaskan perkhidmatan itu bukan hanya terhad di kaca televisyen rumah. 

“Selain di telefon pintar, Mobile TV ini bakal disediakan di semua kenderaan Proton (yang mempunyai televisyen) secara permulaan, dan kita berharap ia akan menembusi pasaran jenama kereta lain dari masa ke masa.

“Kita mahu lebih ramai mengenali MYTV dan menarik penonton golongan muda, kerana mereka lebih cenderung menonton hanya menerusi telefon bimbit. Pelancarannya pada Disember ini,” katanya kepada Bernama selepas membuat tinjauan di stesen pemancar Gunung Serapi di sini, hari ini.

Sebagai permulaan, Azman memaklumkan MYTV menyasarkan 20,000 penonton bagi prapelancaran perkhidmatan bercirikan platform penstriman atau over-the-top (OTT) itu yang bakal berlangsung Oktober ini. 

Katanya isi kandungan bagi perkhidmatan mudah alih ini berbeza daripada siaran MYTV yang boleh ditonton di rumah, kerana intipatinya tertumpu kepada rancangan yang tidak disajikan di media arus perdana.

“Contohnya kita akan menyiarkan secara percuma rancangan sukan yang tidak dapat ditonton di siaran televisyen biasa, manakala rancangan bersifat ‘premium’ pula mungkin akan dikenakan sedikit bayaran kepada pengguna,” katanya.

Turut hadir ketika tinjauan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (Operasi Penyiaran) Putri Joliana Yaacob dan Ketua TV, Jabatan Penyiaran Bernama Nor Hamzeela Md Hambali.

Menurut Azman, stesen Gunung Serapi merupakan antara 12 lokasi pemancar stesen di Sarawak daripada 44 stesen di seluruh negara, dan pemancar itu sahaja meliputi kawasan Kuching, Lundu, Asajaya dan Bau.

Dalam pada itu, Putri Joliana berkata MYTV akan membangunkan dua pemancar stesen, setiap satu di Perlis dan Negeri Sembilan, bagi memperluas liputan platform DTT itu kepada rakyat negeri berkenaan.

Stesen berkenaan akan mula beroperasi 1 Disember ini melibatkan pembinaan di TM Exchange, Perlis dan Gunung Telapak Burok, Negeri Sembilan. – Bernama, 20 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen