Lapor Hamas pengganas, Berita Mandarin RTM disiasat, kata Saifuddin


Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata RTM peka dengan perkembangan semasa dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2021.

DUA editor Berita Mandarin RTM diberikan surat tunjuk sebab susulan laporan berita di TV2 yang menyebut kumpulan Hamas sebagai “pengganas”, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

“Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin yang terlibat telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan laporan lengkap. 

“Pegawai terlibat juga telah dikenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Berita Mandarin yang dipertikaikan itu terjemahannya berbunyi: “Kumpulan militan Hamas di Gaza telah melancarkan beberapa roket ke arah Jerusalem dan selatan Israel, menyebabkan tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas kubu kuat Hamas di utara Gaza.”

Saifuddin berkata beliau mengarahkan perkara itu disiasat selepas tular di media sosial.

“Saya telah segera mengarahkan siasatan dan tindakan lanjut telah diambil oleh pihak pengurusan Jabatan Penyiaran Malaysia,” katanya.

Selain surat tunjuk sebab, RTM juga membuat permohonan maaf secara terbuka dan pembetulan dalam siaran Berita Tengah Hari pada 1 tengah hari dan Berita Mandarin pada 7 malam pada hari yang sama, semalam.

Bahagian Berita Hal Ehwal Semasa juga diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) tugasan bilik berita, khususnya penyuntingan dan penerbitan berita TV untuk memastikan kesilapan sama tidak berulang, tambah Saifuddin.

Beliau juga memberi jaminan RTM akan terus berusaha dalam menambah baik kualiti penyampaian beritanya dari semasa ke semasa.

Saifuddin yang juga bekas menteri luar berkata RTM peka dengan perkembangan semasa dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.

Ketegangan Palestin-Israel memuncak selepas tentera Yahudi menyerang umat Islam yang beribadat di Masjid Al-Aqsa pada 10 malam terakhir Ramadan minggu lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh.

Episod ketegangan terbaharu ini meletus susulan tindakan pendatang Yahudi merampas tanah penduduk Palestin di Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis.

Hamas kemudian bertindak balas dari Gaza melepaskan bom roket ke wilayah yang diduduki Israel termasuk sampai ke Tel Aviv. – 13 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen