BAM yakin Misbun mampu perbaiki prestasi skuad remaja


BAM mahu Pengarah Pembangunan Remaja Misbun Sibek bentangkan rancangan terperinci bagi mengukuhkan bahagian kejurulatihan dan program latihan untuk pemain remaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) yakin dengan kemampuan Pengarah Pembangunan Remaja Misbun Sibek untuk memperbaiki prestasi skuad remaja, selepas prestasi kurang memberangsangkan pada Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Santander, Sepanyol baru-baru ini.

Setiausaha Agung BAM Kenny Goh, bagaimanapun, berkata Misbun perlu membentangkan rancangan terperinci secepat mungkin bagi mengukuhkan bahagian kejurulatihan dan program latihan untuk pemain remaja.

“Pastinya beliau sendiri akan melakukan pascanilai yang menyeluruh dan melihat aspek yang perlu beliau perbaiki.

“Kami akan memberi beliau peluang untuk melakukan apa yang perlu. Beliau perlu berbincang dengan semua badan berkaitan termasuk pihak sains sukan dan pentadbir dan hasilkan rancangan,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Kuala Lumpur, hari ini.

Buat pertama kali, tiada pemain kebangsaan yang layak ke suku akhir bagi acara perseorangan di kejohanan remaja dunia dan pasukan negara hanya menduduki tempat kesembilan bagi acara berpasukan campuran.

Sebelum ini, Malaysia hanya pernah sekali pulang dengan tangan kosong iaitu pada edisi 2019 di Kazan, Rusia.

Sementara itu, Kenny berkata pemain profesional perlu membuktikan kemampuan mereka dalam sebarang kejohanan terlebih dahulu sebelum dipanggil berlatih bersama pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di Kuala Lumpur.

“Kami pernah mengeluarkan pemain (daripada latihan di ABM) sebelum ini, namun selepas itu jika mereka tunjukkan potensi kami akan panggil semula,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Prestasi Tinggi BAM Dr Tim Jones berkata keputusan untuk membenarkan pemain profesional berlatih bersama skuad kebangsaan di ABM dijangka diumum tidak lama lagi.

Sementara itu, Kenny memaklumkan pemain yang akan mewakili negara di Jelajah Dunia Akhir BWF pada 14-18 Dis di Guangzhou dikehendaki menjalani kuarantin di Bangkok, Thailand selama tiga hari sebelum dibenarkan memasuki China.

Bagaimanapun, beliau berkata BAM akan memutuskan sama ada akan menghantar pemain atau tidak ke kejohanan itu selepas mesyuarat majlis BWF di Kuala Lumpur, minggu ini.

Pemain BAM yang telah layak adalah juara beregu lelaki dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah. – Bernama, 8 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen