BAM harap kesetiaan pemain, kata timbalan presiden


Noel Achariam Elill Easwaran

BAM hanya mahukan yang terbaik buat pemain dan sebagai balasannya, mereka perlu komited terhadap permainan. – Gambar fail The Malaysian, 30 Januari, 2022.

PEMAIN badminton di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus mempunyai rasa tanggungjawab dan kesetiaan terhadap persatuan kebangsaan yang memupuk serta membentuk mereka selama ini, kata seorang pegawai tinggi.

Timbalan Presiden 1 BAM V Subramaniam, berkata persatuan itu hanya mahukan yang terbaik buat pemain dan sebagai balasannya, mereka harus komited terhadap permainan.

“Hari ini kami berasakan dalam kalangan beberapa pemain terdapat kurang kesetiaan. Mereka lebih melihat peluang untuk menjana wang.

“Mereka (pemain) harus faham jika mereka tidak berada di tahap tertinggi, adakah mereka akan dipilih? Mereka harus sedar siapa yang membantu mereka ke tahap ini?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Subramaniam berkata, semuanya adalah hasil kerja keras Presiden BAM Mohamad Norza Zakaria, ahli majlis dan persatuan badminton negeri yang membentuk melahirkan pemain terkemuka ini.

“Jadi, apakah balasan atau penghormatan yang diberikan kepada BAM? Apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk menaikkan bendera negara kita di persada antarabangsa.”

Dalam tempoh dua minggu lalu, wujud kontroversi mengenai pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, yang pada 11 Januari memutuskan untuk meninggalkan BAM sekali gus menjadi pemain bebas.

Pada 18 Januari, BAM menggantung pemain berusia 23 tahun yang juga penyandang juara Seluruh England dan pemain ranking ketujuh dunia itu dengan memutuskan enggan mendaftar namanya bagi mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Bagaimanapun susulan bantahan awam, tekanan politik dan beberapa perbincangan antara pemain dan BAM, penggantungan itu dibatalkan dengan Zii Jia dibenarkan untuk menjadi pemain profesional.

Selain Zii Jia, BAM turut menggantung bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei selama dua tahun kerana meninggalkan pasukan kebangsaan hujung tahun lalu. Penggantungannya juga ditarik balik sejak itu.

Sebelum ini, BAM menggantung pemain seperti Tan Chun Seang dan Toh Ee Wei kerana bersara terlalu awal, walaupun Ee Wei menyertai semula pasukan kebangsaan sejurus selepas dimaafkan.

Pengaruh luar

Subramaniam juga berkata, terdapat pihak tertentu yang mempengaruhi pemain untuk meninggalkan BAM dan menjadi profesional.

Beliau berkata, pihak ini bersedia untuk menaja pemain dari segi kewangan pada skala yang lebih besar.

“Mereka sanggup membayar pemain dengan jumlah wang yang banyak. Itulah cara mereka cuba menarik pemain dari BAM.

“Kini, ada pemain yang tergoda kerana wang, walaupun mereka dijaga dengan baik oleh BAM,” katanya tanpa menamakan pihak luar itu.

Katanya, pihak itu menyasarkan pemain popular.

Lee Zii Jia mahu keluar daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia dan bergerak secara profesional. – Gambar EPA, 31 Januari, 2022.

“Kami tidak mendapat manfaat apa-apa. Jika kami terus menghasilkan (pemain yang bagus) dan jika mereka mula pergi maka apa yang boleh kami lakukan?

“Ia bukan mudah. ​​Kami perlu mengumpul wang untuk mengasuh pemain. Begitu banyak masa dan usaha diperlukan.

“Kami membentuk mereka sedikit demi sedikit sehingga mereka menjadi pemain terbaik. Kemudian mereka lari begitu sahaja?”

Beliau berkata, BAM tidak boleh menghalang mereka daripada keluar, tetapi apa yang mereka harapkan adalah pemain mematuhi kontrak mereka.

Beliau juga berharap pemain mencontohi bekas pemain nombor satu dunia Lee Chong Wei.

“Apabila anda bercakap mengenai kesetiaan, Lee adalah contoh yang baik. Dia seorang yang perlu diteladani. Bersama BAM dia menang banyak kejuaraan dan juga mengumpul wang sehingga dia bersara.

“Kami membantunya meraih kejayaan dan dia sentiasa setia dengan BAM.

“Sebelum ini, Lee juga pernah ditawarkan tetapi dia tidak mahu pergi. Itu sahaja yang kami harapkan daripada pemain.”

Dijaga dengan baik di bawah BAM

Subramaniam juga tidak menafikan pemain pernah keluar sebelum ini untuk berdikari dengan persetujuan BAM.

“Pemain yang keluar berada di penghujung karier mereka. Mereka meminta kepada BAM dan kami melepaskan mereka.

“Kami membenarkan pemain seperti beregu campuran Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon serta yang lain keluar kerana tumpuan kami lebih kepada generasi muda untuk meningkatkan prestasi mereka.”

BAM ketika ini mempunyai 113 pemain bersama persatuan itu, dengan 72 pemain bertanding di peringkat remaja dari usia 13 hingga 17 tahun, manakala terdapat 41 pemain senior berusia 18 tahun ke atas.

Subramaniam berkata, pemain bersaing di semua peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, semua pemain dalam BAM dibayar gaji dan Norza menambah faedah mereka.

“Jumlah itu berbeza bagi setiap pemain bergantung kepada ranking dunia mereka. Ada yang boleh mendapat RM5,000 hingga RM15,000 sebulan iaitu untuk pemain senior berumur 18 tahun ke atas.

“Bagi pemain peringkat remaja, ia boleh mencecah RM5,000 dan mereka juga mendapat faedah KWSP serta perubatan.

“Pemain remaja berumur 13 hingga 18 tahun mendapat elaun antara beberapa ratus ringgit hingga RM2,000 sebulan.”

Beliau juga berkata, BAM turut menyediakan penginapan, makan minum, pendidikan, pakaian dan peralatan untuk pemain.

“Apabila mereka pergi ke kejohanan dalam atau luar negara, semua perbelanjaan ditanggung oleh BAM. Ini termasuk tiket penerbangan dan penginapan hotel. Mereka juga mendapat elaun harian antara RM150 hingga RM250 bergantung kepada negara.”

Subramaniam menambah bagi kejohanan antarabangsa, semua hadiah wang kemenangan akan diberikan kepada pemain.

“BAM tidak mengambil satu sen pun daripada hadiah wang itu. Kadang-kadang, kami juga memberi wang tambahan apabila mereka memenangi kejohanan utama.” – 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen