Calon PKR Saraswathi bergantung kepada 'faktor Anwar' di Tapah 


Ravin Palanisamy

Calon PKR bagi kerusi Parlimen Tapah di Perak, Saraswathy Kandasami dijangka bergantung kepada "faktor Anwar Ibrahim" untuk kemenangannya pada pilihan raya umum 19 November. – Gambar Facebook, 5 November, 2022.

CALON PKR bagi kerusi Parlimen Tapah di Perak, Saraswathy Kandasami, akan bergantung kepada “faktor Anwar Ibrahim” untuk kemenangannya pada pilihan raya umum 19 November.

Naib presiden PKR itu, yang bertanding dalam pilihan raya umum pertamanya, memberitahu The Malaysian Insight walaupun Pakatan Harapan mencipta sejarah dengan memenangi pilihan raya umum 2018, Anwar dinafikan peluang untuk menjadi perdana menteri berikutan pembelotan beberapa ahli Parlimen dalam parti pada Langkah Sheraton 2020 yang terkenal.

“Pengundi akan menghukum mereka yang mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya umum 2018.

“Saya dapat melihat sentimen yang sangat kuat (terhadap PH) dan kali ini gelombang itu untuk Anwar,” katanya.

Saraswathy berharap untuk menunggang gelombang ini di Tapah yang mana beliau akan menentang penyandangnya, M. Saravanan dari Barisan Nasional, yang merupakan ahli Parlimen tiga penggal di kawasan itu.

Beliau berkata Anwar menjadi mangsa kerana pembelotan ahli PKR dan keseluruhan muslihat itu direka untuk menafikannya peluang untuk memimpin negara.

“Kami tidak bermain sebagai mangsa tetapi saya hanya mengatakan bahawa pengundi mungkin menghukum mereka yang berpaling tadah atau mereka yang mengingkari mandat rakyat kerana mereka hanya mahu merebut kuasa,” katanya.

Saraswathy juga berkata, menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri PH untuk pilihan raya kali ini adalah kerana rekod prestasinya yang terbukti sebagai menteri kewangan pada masa lalu.

“Beliau pernah menjadi menteri kewangan dan tidak ada unsur rasuah terhadapnya dan beliau disifatkan sebagai antara menteri kewangan terbaik di rantau ini.

“Beliau menegaskan bahawa beliau akan membawa pembaharuan institusi dan beliau akan memerangi rasuah dan beliau akan mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul.

“Berdasarkan rekod prestasinya, hanya beliau sahaja yang boleh menyampaikannya berbanding calon PM lain yang telah dicadangkan,” katanya.

Anwar akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan akan berdepan penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu (Perikatan Nasional), Aminuddin Md Hanafiah (Barisan Nasional) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Rancangan untuk Tapah 

Saraswathy, bekas pelajar MIC dan calon wanita pertama yang diletakkan di kawasan itu, berkata beliau mempunyai rancangan pembangunan untuk Tapah.

Beliau mahu mengubah Tapah - kawasan Parlimen luar bandar - menjadi sebuah bandar yang maju, yang didakwanya akan menyediakan pelbagai peluang baharu, meningkatkan sosio-ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Rancangannya termasuk Orang Asli juga, yang didakwanya boleh menjadi pembawa perubahan di kawasan itu.

“Tapah berhak mendapat yang lebih baik. Berbanding dengan kawasan pilihan raya jiran seperti Kampar, ia sangat ketinggalan, tidak mempunyai kemudahan penjagaan kesihatan, infrastruktur jalan raya, sistem pengangkutan awam, peluang pekerjaan dan tarikan pelancongan,” kata peguam itu.

Calon PKR bagi kerusi Parlimen Tapah di Perak, Saraswathy Kandasami yakin mampu mengubah kehidupan rakyat di kawasan Parlimen itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke 15.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 November, 2022.

“Mengenai peluang pekerjaan, hanya ada satu atau dua kilang yang beroperasi di sini. Ia sangat terpencil dan tidak mempunyai banyak aktiviti ekonomi.

“Saya kemukakan banyak pendekatan baharu untuk menarik pelancong kerana ia hanya di kaki bukit Cameron Highlands tetapi ketika ini ia tidak menarik ramai pelancong asing.

“Pelancong tempatan hanya terhad di Lata Kinjang dan Lata Iskandar (air terjun) tetapi saya berharap Tapah boleh mengadakan agropelancongan dan eko-pelancongan.

“Kami tidak bercadang untuk membina bangunan tinggi tetapi dengan ekosistem yang ada, mengekalkan kehijauan, kami boleh mempromosikan pelancongan,” katanya.

Saraswathy menyifatkan 9,000 masyarakat Orang Asli di sini sebagai “dipergunakan” sebagai bank undi oleh Barisan Nasional (BN).

“Di sini, Orang Asli hanya dianggap sebagai bank undi. Tiada apa yang dilakukan untuk memberi manfaat kepada mereka, tradisi atau produk mereka.

“Ia tidak diketengahkan untuk menarik pelancong tetapi kami mempunyai rancangan untuk semua ini,” katanya, sambil menambah mereka mempunyai rancangan untuk menganjurkan hari Orang Asli tahunan di bandar ini untuk mempromosikan tradisi, budaya dan produk unik mereka untuk menarik pelancong asing dan mempromosikan pelancongan.

“Kami mengadakan acara sebegini di luar negara yang mendapat sambutan yang baik. Saya mempunyai rancangan untuk mengulanginya supaya ia boleh memberi manfaat kepada orang Asli di sini,” katanya.

Saraswathy berkata beliau tidak membuat janji kosong tetapi mempunyai rancangan yang lengkap dan menyeluruh untuk kawasan itu.

“Jika mereka yakin dengan rancangan itu dan memberi peluang kepada kami, kami akan melaksanakannya satu persatu”.

Tapah mempunyai 28,000 pengundi Melayu, Cina (14,000), Orang Asli (9,700) dan India (8,500).– 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen