Rafizi kembali ke Pandan, Amirudin akan bertempur di Gombak 


Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli kembali bertanding di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Oktober, 2022.

PKR malam ini mengumumkan Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli kembali bertanding di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Turut diumum penyandang Parlimen Pandan Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail di Parlimen Ampang. 

Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR Amirudin Shari pula akan bertanding di Parlimen Gombak.

Sebelum ini, Mohd Rafizi yang bertanding di Parlimen Pandan pada PRU13 menewaskan Lim Chin Yee (BN-MCA) dan Tan Yew Leng (BEBAS) dengan majoriti 26,729 undi. 

Beliau tidak bertanding pada PRU14 kerana hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2018 menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya kerana mendedahkan butiran empat akaun bank membabitkan Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Parlimen itu kemudian dimenangi oleh Wan Azizah pada PRU14 dengan majoriti 52,543 undi.

Kesemua calon itu diumumkan dalam satu majlis di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Kosas di Ampang malam ini.

Turut hadir Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan calon yang bakal bertanding.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Naib Presiden PKR Aminudin Harun pula diumum bertanding di Parlimen Port Dickson manakala Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Parlimen Pasir Salak.

Penyandang Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Mohd Akin akan bertanding di Bagan Datuk dan calon bagi kerusinya digantikan oleh Ketua Angkatan Keadilan (AMK) Adam Adli.

Bekas naib presiden Amanah Husam Musa pula diumum bertanding di Parlimen Pasir Mas, Kelantan. 

Penyandang yang masih diberi kepercayaan mempertahan kerusi masing-masing ialah Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu), Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru). 

Turut mempertahan kerusi masing-masing ialah Syed Noh Syed Ibrahim (Ledang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Sstiawangsa), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar) dan P. Prabakaran (Batu) dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai). 

Beberapa muka baharu turut diumum termasuk Dr Hasan Basri Awang Mat Dahan (Jerantut), Abbas Awang (Bera) dan Fathin Amalina Fazli (Arau). 

Terdahulu, Anwar mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun berdepan penyandangnya, Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu. – Bernama, 28 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen