2 nelayan ditahan bersama ganja bernilai RM1.43 juta


POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan dua nelayan tempatan dan merampas 573 kilogram (kg) ganja bernilai RM1.43 juta dalam dua serbuan di Tanjung Bungah, di George Town Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menyerbu sebuah pondok di tepi pantai di kawasan Tanjung Bungah pada jam 1.40 pagi.

“Dalam serbuan tersebut polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun bersama lapan karung guni yang mengandungi 243 ketulan ganja mampat seberat 246kg bernilai RM612,000 dan ketika itu sebuah bot dipandu seorang lelaki bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Hasil tindakan pantas pegawai dan anggota PPM Wilayah Satu berjaya menahan bot dipandu lelaki berusia 58 tahun itu kira-kira 600 meter dari persisir pantai iaitu pada jam 1.55 pagi. Pemeriksaan lanjut dalam bot nelayan itu menemukan 11 karung guni yang mengandungi 321 ketulan ganja seberat 327kg yang bernilai RM818,000 dalam sampan nelayan tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah berkenaan dari negara jiran dan menggunakan bot serta jalan laut untuk dibawa ke Pulau Pinang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Soffian berkata siasatan juga mendapati lelaki berusia 58 tahun itu merupakan ketua sindiket tersebut dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak Julai lalu dengan mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Katanya lelaki itu dipercayai kemudiannya memproses dan membungkus semula bekalan ganja itu dalam kuantiti kecil sebelum menjualnya kepada pembeli sekitar Pulau Pinang.

“Semasa serbuan itu, mereka sedang memindahkan bekalan dadah tersebut dari bot ke darat sebelum di bawa ke rumah suspek untuk disimpan dan dijual kepada pembeli ini bukan kali pertama sindiket itu melakukan penyeludupan ganja untuk dibawa masuk ke Pulau Pinang,” katanya.

Katanya semua ganja seberat 573kg bernilai RM1.43 juta itu boleh digunakan oleh 1.15 juta penagih dan polis turut menyita bot nelayan dan enjin yang kesemuanya bernilai RM93,000.

Menurutnya kedua-dua lelaki tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 26 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen