APMM tahan 21 nelayan Vietnam di Pulau Aur


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 21 nelayan warga Vietnam termasuk tekong selepas didapati menangkap ikan secara haram di kedudukan 16 batu nautika timur laut Pulau Aur, di Mersing, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata pihaknya turut merampas sebuah bot nelayan, peralatan menangkap ikan dan kira-kira 3,500 kilogram hasil laut serta 1,000 liter bekalan diesel yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Beliau berkata bot ronda Zon Maritim Mersing yang sedang beroperasi dalam Op Jaksa bergegas ke lokasi kejadian susulan aduan yang diterima daripada pemancing yang berada berhampiran dengan pulau berkenaan, kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan ke atas 21 kru termasuk tekong mendapati kesemua mereka merupakan warga Vietnam, berumur 17 hingga 47 tahun dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Nizam berkata kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan jenayah boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404. – Bernama, 5 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen