TEXAS Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap Google semalam menuduh gergasi internet itu mengumpul sejumlah besar data biometrik daripada orang ramai tanpa kebenaran sewajarnya.
Namun syarikat yang berpangkalan di California itu menolak dakwaan berkenaan.
Saman itu menuduh Google mengumpul berjuta-juta data biometrik seperti butiran suara dan muka daripada pengguna di Texas yang melanggar undang-undang negeri serta mendapat keuntungan akibatnya, kata peguam negara Ken Paxton dalam satu kenyataan.
“Pengumpulan maklumat peribadi Google termasuk maklumat yang sangat sensitif seperti pengecam biometrik tidak akan diterima,” kata Paxton.
Google menolak tuduhan itu dan berjanji untuk “membetulkan rekod” di mahkamah.
“Paxton sekali lagi menyalahgunakan ciri produk kami dalam satu lagi tuntutan mahkamah,” kata jurucakap Google Jose Castaneda dalam menjawab pertanyaan AFP.
Paxton menyasarkan firma teknologi dalam beberapa tindakan undang-undang termasuk aduan serupa terhadap Meta induk Facebook pada Februari.
Tanpa garis panduan persekutuan yang jelas menangani cara data pengguna boleh dikumpul dan digunakan, beberapa negeri AS meluluskan peraturan mereka sendiri, manakala negeri dan kumpulan pengguna memfailkan beberapa tindakan undang-undang mengenai perkara itu. – AFP, 21 Oktober, 2022.
Komen