Video tunjukkan polis lambat bertindak insiden tembakan di Texas 


Orang ramai menunggi di luar Sekolah Rendah Robb ketika pihak berkuasa mengawal kawasan di Uvalde, Texas, susulan insiden tembakan yang meragut 21 nyawa. – Gambar AFP, 13 Julai, 2022.

VIDEO tembakan di sekolah di Uvalde, Texas, disiarkan pada Selasa menunjukkan polis menunggu lebih sejam sebelum menyerbu bilik darjah di mana seorang lelaki bersenjata membunuh 19 kanak-kanak dan dua guru.

Steve McCraw, ketua keselamatan awam Texas menyifatkan tindak balas polis terhadap serangan 24 Mei sebagai “kegagalan besar” dan berkata pegawai membuang masa penting mencari kunci bilik darjah yang “tidak diperlukan.”

Video kamera pengawasan yang diperoleh akhbar Austin American-Statesman menunjukkan lelaki bersenjata berusia 18 tahun itu merempuh traknya di luar Sekolah Rendah Robb dan kemudian memasuki bangunan itu pada jam 11.33 pagi dengan bersenjatakan senapang separa automatik.

Semasa berjalan di lorong kosong, seorang budak lelaki melihatnya dari satu sudut dan bergegas pergi ketika lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ke dalam bilik darjah.

Kamera merakam lelaki bersenjata melepaskan puluhan das tembakan dari luar pintu sebelum masuk ke dalam. Dia melangkah keluar sebentar ke pandangan kamera, masuk semula ke dalam kelas dan tidak kelihatan lagi.

Beberapa anggota polis bersenjatakan pistol dilihat tiba di lorong sekolah dalam masa tiga minit selepas tembakan pertama dilepaskan.

Mereka menyusuri lorong tempat tembakan berlaku tetapi berundur apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari bilik darjah.

Sejam berikutnya polis dilihat berkerumun di hujung lorong sementara bantuan tiba, termasuk pegawai yang bersenjatakan senjata separa automatik dan perisai balistik.

Pada jam 12.21 tengah hari, 45 minit selepas ketibaan pegawai pertama di tempat kejadian, tembakan kedengaran dari tempat lelaki bersenjata itu bersembunyi.

Para pegawai akhirnya menyerbu bilik darjah pada jam 12.50 tengah hari dan membunuh lelaki bersenjata itu—satu jam 14 minit selepas mereka sampai.

Video itu tidak menunjukkan kanak-kanak ditembak dan Austin American-Statesman berkata ia mengeluarkan audio jeritan mereka.

Keputusan yang teruk

McCraw, ketua keselamatan awam Texas, memberitahu perbicaraan senat negeri pada Jun yang pihak polis mempunyai cukup anggota untuk menghentikan penembak tiga minit selepas memasuki sekolah.

Komander di tempat kejadian, Pete Arredondo memutuskan mengutamakan nyawa pegawai berbanding kanak-kanak, kata McCraw.

“Pegawai ada senjata, kanak-kanak tiada. Pegawai ada perisai badan, kanak-kanak tiada. Pegawai ada latihan, subjek tiada,” katanya memberi keterangan.

Arredondo mendakwa pintu bilik darjah dikunci, melambatkan pergerakan mereka terhadap penembak, tetapi McCraw memberitahu siasatan itu bukan penyebabnya.

“Beliau menunggu kunci yang tidak sepatutnya diperlukan,” kata pegawai itu.

McCraw memberitahu siasatan yang Arredondo, yang sejak itu digantung kerja, membuat keputusan yang teruk.

Beliau berkata tindak balas itu bertentangan dengan pengajaran dipelajari sejak kejadian tembakan di sekolah menengah Columbine yang menyebabkan 13 orang maut pada 1999.

“Terdapat bukti kukuh yang tindak balas penguatkuasa undang-undang terhadap serangan di Sekooah Rendah Robb adalah kegagalan besar dan bertentangan dengan semua yang kami pelajari sejak dua dekad lalu sejak pembunuhan beramai-ramai di Columbine,” kata McCraw.

Shannon Watts, pengasas kumpulan kawalan senjata Moms Demand Action, mengecam tindak balas polis selepas menonton video itu.

“Berpuluh-puluh pegawai—tempatan, negeri dan persekutuan—bersenjata lengkap, memakai perisai badan dan topi keledar, mempunyai perisai pelindung. Mereka berjalan-jalan, mengacukan pistol ke bilik darjah, membuat panggilan, menghantar teks, melihat pelan lantai—tetapi ‘Langsung tidak cuba masuk ke bilik darjah’,” tulis Watts di Twitter.

Insiden tembakan Uvalde, kejadian paling ngeri di Amerika dalam satu dekad, berlaku 10 hari selepas seorang remaja berusia 18 tahun menggunakan senapang jenis AR-15 untuk membunuh 10 warga Afrika Amerika di sebuah pasar raya di Buffalo, New York. – AFP, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen