Pasangan ditangkap kes culik warga Palestin bukan ahli PKR, kata Fahmi


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil hari ini menafikan dua daripada 11 individu yang ditangkap berhubung kes penculikan warga Palestin itu merupakan ahli PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2022.

PKR hari ini menafikan pasangan yang antara ditahan polis kerana menculik seorang lelaki Palestin adalah ahli parti itu, kata Fahmi Fadzil.

Ketua Penerangan PKR itu berkata demikian selepas tular beberapa keping gambar pasangan itu dengan logo dan bendera PKR.

“Saya sahkan bahawa dua individu tersebut, iaitu Nidarayahu Zainal dan Raibafie Amdan, bukan anggota mana-mana cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Berhubung gambar individu tersebut mengangkat bendera PKR, atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ianya merupakan tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” tambahnya.

Semalam, New Straits Times melaporkan ejen perisikan Israel, Mossad telah mengupah rakyat tempatan untuk menculik seorang warga Palestin yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas.

Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Edy Ko’im Said, 40, Mohamad Norakmal Hassan, 41, Dody Junaidi, 42, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39, Mohamad Naziree Mustapha, 39, Faizull Hardey Mohd Isa, 40, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25, Mohamad Sufian Saly , 23, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21, Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Mayang di Kuala Lumpur pada 10.40 malam, 28 September dan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis Kuala Lumpur masih belum mengesahkan sama ada Mossad dalang di sebalik penculikan itu, menambah yang siasatan masih berjalan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata laporan New Straits Times (NST) semalam yang mengaitkan penculikan itu dengan Mossad telah mengganggu siasatan mereka.

“Saya tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul dan saya tidak tahu dari mana (media) mendapatkan (maklumat),” kata Azmi kepada pemberita hari ini.

Dilaporkan polis juga telah memanggil pengarang kumpulan NST Farrah Naz Karim untuk disoal siasat hari ini, dipercayai berhubung artikel yang dimuatkan dalam akhbarnya semalam. – 19 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen