PKR tidak berhasrat kerjasama dengan Perikatan, GTA


Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata fokus utama parti itu sekarang adalah memperkukuh gabungan Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2022.

PKR menegaskan tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan Gabungan Tanah Air (GTA) yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad dan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata, fokus utama parti itu sekarang adalah memperkukuh gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Ini tidak benar. Pendirian PKR dan Pakatan Harapan amat jelas, iaitu fokus utama kami adalah untuk memperkukuh Pakatan Harapan itu sendiri,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Fahmi mengeluarkan kenyataan mengulas laporan media yang memetik kesediaan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH mengenai kemungkinan kerjasama dengan PN dan GTA.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata kenyataan Anwar menegaskan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti menjelang PRU15 tidak hanya tertumpu kepada usaha menumbangkan Umno dan Barisan Nasional, tetapi mesti berteraskan prinsip-prinsip agenda reformasi, tatakelola yang baik, dan melawan rasuah.

“Oleh itu, PKR tiada hasrat untuk mengadakan perbincangan kerjasama pilihanraya dengan GTA dan PN,” kata Fahmi.

Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng pula berkata, pihaknya sedia menimbangkan kerjasama bersama Dr Mahathir, namun menolak usaha sama dilakukan terhadap PN.

Ini berikutan, Majlis Presiden PH sebelum ini katanya telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan sama ada PN atau Muhyiddin kerana peranannya sebagai “pengkhianat” utama dalam Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat dan membentuk kerajaan pintu belakang dengan UMNO, MCA, MIC dan PAS.

“Kita tidak boleh bekerjasama dengan orang yang tidak boleh dipercayai, kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini.

“Saya akan menentang sebarang pembalikan keputusan sebelum ini,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, PH sedia bekerjasama dengan parti-parti pembangkang dengan syarat mereka menerima peranan kepimpinan PH dan Anwar sebagai calon perdana menteri.

“Ini telah diterima tanpa syarat oleh Muda dan Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman, Presiden Muda), bagaimanapun Majlis Presiden PH tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan hati oleh Dr Mahathir,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor berkata terdapat kemungkinan GTA bekerjasama dengan parti “yang sebulu” dengan gabungan baharu yang beliau pengerusikan sekarang.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci gabungan terbabit.

Muhyiddin susulan itu berkata PN sedia menimbangkan cadangan kerjasama politik bagi menewaskan Umno dan BN pada PRU15 nanti.

Presiden Bersatu itu bagaimanapun katanya tertakluk pada ketetapan majlis tertinggi parti.

Setakat ini, katanya belum ada mana-mana pihak yang tampil berhubungan dengannya dalam perkara itu.

Kerjasama antara pelbagai parti ini mula dibincangkan selepas Pilihan Raya Negeri Johor akhir Mac lalu.

GTA dianggotai empat parti Melayu – Pejuang, Putra, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) – serta mendapat dukungan pelbagai badan masyarakat, tokoh akademik dan cendekiawan.

Pejuang yang dipengerusikan juga oleh Dr Mahathir adalah parti serpihan Bersatu, yang ditubuhkan pada pertengahan 2020 selepas kemelut percaturan politik Langkah Sheraton. – 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen