Pemimpin propembebasan Kashmir mati dalam tahanan akibat kanser


Pada 3 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Delhi mengarahkan Altaf Ahmad Shah dipindahkan ke dar Penjara Tihar ke All India Institute Of Medical Sciences di New Delhi. Gambar AFP, 11 Oktober, 2022.

PEMIMPIN propembebasan Kashmir, Altaf Ahmad Shah yang dipenjarakan pihak berkuasa India sejak lima tahun lepas, meninggal dunia pada malam Isnin, beberapa hari selepas disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap akhir.

Bersama enam pemimpin tertinggi prokebebasan, Shah, 66, ditahan dalam “kes pendanaan keganasan” pada 2017.

Beliau ialah menantu kepada pemimpin gerakan pembebasan Kashmir, Syed Ali Geelani, 91, yang meninggal dunia di kediamannya di Srinagar tahun lalu selepas hampir 10 tahun ditahan di rumah.

Shah menghidap kencing manis. Pada 30 September, anak perempuannya Ruwa Shah menerusi Twitter berkata bapanya didiagnosis dengan kanser buah pinggang dan telah merebak ke organ penting lain.

“Kami sekeluarga memohon untuk bertemu dengannya serta meminta beliau dibenarkan untuk diikat jamin atas alasan kesihatan,” ciap Ruwa.

Beliau berkata bapanya telah dipindahkan dari Penjara Tihar New Delhi, tempat dia dipenjarakan ke Hospital Ram Manohar Lohia (RML) yang tidak mempunyai jabatan onkologi.

“Imbasan PET yang perlu dilakukan tidak terdapat di RML, tempat beliau menerima rawatan. Doktor enggan bercakap dengan kami. Polis tidak membenarkan kami berjumpa dengannya. Dia memerlukan rawatan secepat mungkin,” katanya lapor Agensi Anadolu. 

Selepas enam hari rayuan demi rayuan termasuk menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri India Amit Shah dan perintah Mahkamah Tinggi Delhi pada 3 Oktober, Shah dipindahkan ke All India Institute Of Medical Sciences. 

Shah ialah ahli penting kumpulan pemisah Tehreek-e-Hurriyat (TeH) yang ditubuhkan pada 2004 dan bekerja rapat dengan Geelani.

Geelani meninggal dunia akibat pelbagai penyakit. 

Mohammad Ashraf Sehrai, seorang lagi pemimpin Hurriyat yang menggantikan Geelani sebagai pengerusi Hurriyat juga meninggal dunia dalam tahanan dengan keluarganya menuduh pihak berkuasa gagal memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya. – Bernama, 11 Oktober, 2022.              



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen