Satu-satunya mesin mamografi Hospital Tuanku Ja’afar rosak sejak 3 bulan lalu


Ravin Palanisamy

Satu-satunya mesin mamografi di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban di Negeri Sembilan rosak sejak tiga bulan lalu. – Gambar Facebook, 12 Julai, 2022.

SATU-satunya mesin mamografi di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di Negeri Sembilan rosak sejak tiga bulan lalu, menyebabkan pesakit terpaksa membuat saringan mengesan kanser payudara di hospital awam lain yang terletak lebih jauh.

Perkara itu disahkan seorang kakitangan HTJS yang mahu namanya dirahsiakan kepada The Malaysian Insight.

Seorang pesakit, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Noor, 50-an, berkata beliau baru-baru ini ke HTJS untuk janji temu mamografi tetapi kemudian diberitahu perlu ke hospital lain kerana mesin saringan tersebut rosak.

Wanita itu diminta ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, yang terletak kira-kira 40 km dari HTJS.

“Sekarang saya kena ke hospital yang lagi jauh,” katanya yang menetap di Nilai.

“HTJS hospital kerajaan yang paling dekat dengan rumah saya. Takkan hospital paling besar di Negeri Sembilan cuma ada satu mesin mamografi? 

“Saya bukannya muda lagi, nak pergi jauh ke Kuala Pilah pula. Kalau ke HTJS mudah sikit, saya boleh naik tren komuter kemudian naik teksi. Kalau ke Kuala Pilah saya kena minta suami atau anak hantarkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang kakitangan HTJS yang mengesahkan perkara itu berkata mesin mamografi di hospital itu sudah berbulan rosak, dan pesakit akan dirujuk ke HTAN.

Menurutnya, walaupun saringan dibuat di HTAN pesakit perlu ke HTJS semula untuk jalani ujian ultrasound kerana ia sebahagian daripada saringan kanser payudara.

“Pesakit dirujuk ke HTAN hanya untuk pemeriksaan mamografi, tetapi laporan dan ujian lain dilakukan di HTJS.

“Selepas mamografi, pesakit dirujuk ke HTJS semula untuk pemeriksaan ultrasound. Pesakit akan diberi tarikh janji temu baharu untuk ultasound di HTJ.

“Jadi memang agak menyusahkan sedikitlah bagi pesakit,” katanya yang enggan namanya didedahkan.

Sumber itu juga berkata secara purata seramai 20 orang menjalani pemeriksaan mamografi di HTJS.

Beliau selain itu tidak dapat mengesahkan sama ada pihak HTJS ada memohon mesin mamografi baharu kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa ketua jabatan dan pengarah hospital.

The Malaysian Insight telah menghubungi Pengarah HTJS Dr Zaleha Md Noor berhubung perkara itu tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas. – 12 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen