PUTRAJAYA perlu menjalankan siasatan penuh dan telus berhubung kematian enam tahanan Rohingya di Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Kedah pagi ini, kata Amnesty International hari ini.
Pengarah eksekutifnya Katrina Jorene Maliamauv juga menggesa siasatan bebas dijalankan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sekiranya ada kemungkinan pelanggaran hak asasi manusia.
“Kerajaan mesti memberikan ketelusan sepenuhnya dan menyiasat secara menyeluruh kejadian mengejutkan pagi tadi termasuk keadaan terdesak dalam pusat tahanan imigresen yang menyebabkan tahanan cuba melarikan diri mengakibatkan kehilangan enam nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Maliamauv berkata keadaan pusat tahanan mesti diteliti untuk membuat perubahan sistemik dan bagi mengelakkan lebih banyak kematian.
Beliau juga menggesa kerajaan melihat dasar menahan pendatang tanpa had yang merupakan punca utama kesesakan.
“Kesan trauma walaupun dalam tempoh yang singkat apatah lagi penahanan tanpa had sudah diketahui umumum. Oleh itu kerajaan perlu menjawab bukan sahaja mengenai kematian enam individu itu tetapi juga mengapa begitu ramai pelarian termasuk kanak-kanak ditahan.
“Lebih banyak peristiwa tragis boleh berlaku jika kerajaan tidak menangani keadaan tidak berperikemanusiaan di pusat tahanan, menyemak semula dasar penahanan individu atas sebab imigresen dan memberi mereka kebebasan bergerak sementara menunggu permohonan suaka,” katanya.
Seramai enam tahanan Rohingya terbunuh ketika mereka cuba meloloskan diri dari pusat tahanan imigresen awal pagi tadi.
Mereka antara 528 tahanan yang berjaya meloloskan diri pada jam 4.30 pagi selepas memecahkan pintu dan penghadang besi.
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata enam daripada mereka yang melarikan diri maut dalam kemalangan jalan raya ketika cuba melarikan diri.
Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata polis menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kejadian rusuhan dan tahanan lari berkenaan.
Operasi bersama polis Kedah dan Pulau Pinang yang dinamakan Ops Cantas juga dijalankan bagi mengesan mangsa yang melarikan diri.
“Sebanyak 13 sekatan jalan raya dibuat di Kulim, Bandar Baharu dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang,” katanya. – 20 April, 2022.
Komen