Polis tubuh pasukan siasatan khas siasat kes rusuhan, tahanan lari


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sebahagian daripada 528 tahanan yang ditahan selepas meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Kedah. – Gambar ehsan polis, 20 April, 2022.

POLIS menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kejadian rusuhan dan tahanan lari dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Kedah.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata pasukan siasatan khas yang terdiri daripada 13 pegawai dan anggota akan menyiasat punca kejadian dan bagaimana semua tahanan boleh lolos dari tahanan.

“Kem itu menempatkan 664 tahanan secara keseluruhan dan 528 berjaya meloloskan diri ketika kejadian. Enam terdiri daripada dua lelaki serta dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Jawi.

“Seramai 176 daripada 528 tahanan yang melarikan diri itu masih diburu dan mereka dipercayai masih berada di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung.

Katanya, siasatan awal mendapati ada seramai 23 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertugas mengawal kawasan depot dan jumlah tahanan yang ramai mengakibatkan mereka sukar untuk mengawal semua dari lolos.

Menurut Wan Hassan pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan wujud perasaan tidak berpuas hati sehingga menyebabkan tercetus rusuhan berkenaan.

“Bagaimanapun, elemen tidak puas hati ini adalah berdasarkan hasil siasatan awal dan kita akan mencari punca sebenar kejadian dengan meneruskan siasatan lanjut.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 147 KK,” katanya.

Seramai 528 tahanan lari dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Kedah. – Gambar ehsan polis, 20 April, 2022.

Wan Hassan berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan hanya berlaku sedikit kerosakan kecil di pintu utama serta pagar.

“Tahanan yang masih bebas ini boleh mendatangkan bahaya dan terbabit dalam elemen jenayah kerana cenderung untuk melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri.

“Mereka yang difahamkan beragama Islam kemungkinan besar berpuasa dan dalam keadaan kelaparan, mereka dibimbangi akan menceroboh rumah penduduk atau melakukan sebarang tindakan luar kawalan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita khuatir kemungkinan akan wujud elemen jenayah dilakukan mereka, seperti menceroboh atau mencuri di rumah penduduk,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan tahanan yang masih bebas ini hanya berkaki ayam dan agak mudah untuk dikenal pasti berdasarkan pemakaian mereka.

“Kita percaya ada segelintir tahanan ini yang menahan dan menumpang kenderaan orang ramai. Justeru diharapkan mereka yang menumpangkan golongan ini menghubungi polis,” katanya.

Selain itu Wan Hassan berkata pihaknya melancarkan Op Cantas yang turut membabitkan kontinjen Pulau Pinang untuk mengesan tahanan masih bebas.

“Sebanyak 13 sekatan jalan raya turut diadakan di Kulim, Bandar Baharu dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

“Selain itu Pasukan Gerakan Am dan unit anjing K9 turut digerakkan dalam operasi ini. Operasi ini akan berterusan sehingga semua tahanan ditahan semula,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata seramai 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari depoh tahanan itu pada jam 4.30 pagi tadi dan siasatan awal mendapati tahanan melarikan diri selepas berjaya memecahkan pintu blok dan pagar penghadang di depot berkenaan. – 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen