PRU15: Tanda pagar #benamkan mereka


Faisal Tehrani

MAKA Dewan Rakyat pun terbubarlah, kerana meskipun kamu pacal tak berkenan hendak mengundi dalam basah hujan, atau kaki terendam lecak; ada pihak lain berkenan untuk membubarkannya.

Kamu rakyat sekalian pacal tak pernah menjadi kenyataan dalam fikiran orang besar-besar. Kalau tenggelam, maka tenggelamlah kamu.

Justeru satu cara untuk mengajarkan ialah dengan membenamkan mereka. Kamu mulai dengan tanda pagar atau hash tag #benamkan mereka. Iaitu para politikus penyangak penyamun dan perasuah.

Merekalah yang menyusahkan kamu ini. Mana-mana yang kamu tidak berkenan, inilah masanya menzahirkan.

Mengapa ada pihak yang beria-ia mahukan PRU15?

Ada dua sebab. Sebab-sebab itu harus kamu berikan perhatian dan analisis dengan saksama.

Pertamanya, ialah mereka ingin memastikan peratusan keluar mengundi yang rendah. Mereka beranggapan pengundi iaitu kamu rakyat pacal yang hina sebagai manja, tak sanggup lencun disergah badai, atau dikuyup hujan meskipun berpayung emas.

Anggapan mereka ialah kamu tak sanggup berlumpur berbecak dipanjat pacat untuk memilih pekerja bergelar YB yang akan berkhidmat untuk kamu selama lima tahun.

Kamu pengundi mesti memastikan mereka silap. Jika kamu boleh bersusah pada tahun 2018, dalam sengit panas bahang untuk memangkah reformasi dan menghantar penyangak ke penjara, maka kamu boleh melakukannya sekali lagi. Apa sangatlah berbasah sekejap.

Kamu mesti memastikan ribut petir sekalipun kamu tidak akan mengalah. Ingat undi rabu yang menyakitkan hati kamu? Undi banjir inipun adalah motivasi kuat untuk kamu melakukannya sekali lagi. Untuk #benamkan mereka.

Jika peratus mengundi rendah maka kamu akan senang dihenyak dan dikhianati. Jika peratus mengundi rendah maka suara kamu tatkala balak menghentam rumah tatkala bah besar nanti takkan dipedulikan.

Jika peratus mengundi rendah maka teriak kamu kalau harga barang naik mencanak takkan diendahkan. Jika peratus mengundi rendah maka lolongan suara kamu tatkala ketidakadilan bersemarak, maka tiada siapa membujuknya.

Memang mereka inginkan peratus keluar mengundi yang rendah. Sebab dengan peratus mengundi yang rendah inilah mereka dapat melenyek kamu setindih-tindihnya.

Dalam ilmu sains politik ini dinamai “voter suppression.” Iaitu menggencatkan pengundi dengan niat gencatan itu akan membantu parti berkuasa untuk terus berkuasa.

Dalam erti kata lain, yang melakukan ini mahu supaya undi kamu tidak didengari dan mereka terus menang untuk melakukan apa yang perlu dilakukan; mengatur hidup kamu sebebas-bebasnya menurut kehendak mereka. Melainkan kamu menghentikan mereka dengan melakukan satu yang pasti, #benamkan mereka dahulu.

Contoh “voter suppression” ini antara lain ialah pertamanya, menyulitkan pengundian. Tarikh pengundian pada hari Rabu misalnya adalah contoh kaedah menyulitkan pengundi. Pengundian tatkala musim hujan dan banjir sebagai contoh adalah satu lagi cara menyulitkan pengundi.

Kedua, PRU15 ketika musim hujan dan banjir mungkin menjejaskan tempat pengundian atau tempat mengira undi yang akan membawa manfaat besar buat parti berkuasa. Tidaklah menghairankan kalau kamu pacal yang hina berasa curiga dan prasangka dengan niat pengundian ini dilakukan pada waktu ini.

Keduanya, kamu jangan terpedaya. PRU15 dalam hujan dan banjir akan membolehkan penyamun mengumpan kamu dengan kampit beras, dengan makan minum, dengan sampul berisi wang dari parti-parti perasuah dan penyamun.

Inilah yang ingin dicapai iaitu menunjukkan mereka seolah-olah baik tatkala hujan sedang bertimpaan di atap rumah kamu yang uzur dan zink belaka itu.

Mereka ingin memperlihatkan kekononan yang mereka itu sangat prihatin dan memberi perhatian. Padahal mereka baru sahaja melakukan hal yang terkutuk, iaitu menyusahkan kamu iaitu majikan mereka.

Ingat, kamu pengundi itu adalah tuan dan raja; setiap kali PRU15 kamu bukan pacal yang hina. Kamulah yang berhak menentukan.

Segala umpanan itu memang tujuannya supaya kamu terpedaya. Kamu sebagai pengundi mesti membuktikan bahawa apa pun habuan yang ditabur, kamu tidak akan dibodohkan dengan mudah.

Kamu harus kekal dan teguh hati untuk melakukan satu yang pasti, #benamkan mereka.

Segala umpanan dan habuan ketika musim PRU adalah satu rasuah. Kamu harus bertegas terhadap calon yang menggunakan dorongan untuk membeli undi ketika berkempen pada pilihan raya.

Kamu sebagai rakyat bertanggungjawab harus mengawasi kegiatan kempen calon dan ejen dalam memastikan tiada yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya. Kalau mereka menyogok kamu rakamkan perbuatan itu.

Kempen ketika hujan dan banjir memudahkan aktiviti yang boleh dianggap sebagai perbelanjaan undi tetapi kamu harus waspada bahawa tindakan perlu diambil terhadap mana-mana pesalah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (EOA), Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan.

Kamu harus ingat penganjuran jamuan makan (senang sekarang kalau dalam banjir dan hujan) dan menyampaikan sumbangan kepada orang ramai (juga senang dilakukan di musim bencana) adalah  kesalahan di bawah EOA yang disebutkan di atas.

Kamu semat dalam ingatan yang calon mestilah merekodkan semua perbelanjaan yang ditetapkan tidak melebihi RM200,000 dan calon perlu mematuhi had berkenaan berdasarkan maklumat dan bukti diberikan.

Bagi Seksyen 8 EOA, setiap calon boleh dianggap rasuah dengan memberikan makanan, wang atau tiket. Seksyen 10 EOA (rasuah) pula seseorang individu didapati bersalah sekiranya menawarkan pembelian undi sama ada ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan, atau pinjaman sebelum, sewaktu atau selepas pilihan raya.

Ini berlaku merentas semua parti. Kamu, pacal yang hina adalah tuan ketika musim berkempen ini, jangan kamu jadi bodoh membiarkan sahaja.

Ada orang mengatakan PRU15 diperlukan atas alasan untuk mengabsahkan kerajaan sedia ada. Ada orang mengatakan PRU15 diperlukan untuk membebaskan penyangak dan penyamun yang sedang dan telah kita hantar ke penjara. Jangan gagalkan pelan menyumbat penjenayah ini ke neraka.

Dewan Rakyat sudah terbubar, mengapa ia terbubar? Kerana meskipun kamu pacal tak berkenan hendak mengundi dalam basah hujan, atau kaki terendam lecak; ada pihak lain berkenan untuk membubarkannya. Kamu rakyat sekalian pacal tak pernah menjadi kenyataan dalam fikiran orang besar-besar.

Kalau lemas, maka karam lemaslah kamu. Justeru, tuan-puan adik kakak; satu cara untuk mengajarkan ialah dengan membenamkan mereka.

Kamu mulai dengan tanda pagar atau hash tag #benamkan mereka ini semua.

Benamkan siapa? Para politikus penyangak penyamun dan perasuah. Mana-mana yang kamu tidak berkenan, inilah masanya menzahirkan. – 11 Oktober, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen